KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Pengiktirafan Sabah & Sarawak Sebagai “Wilayah” Tidak Sama Dengan Istilah “Wilayah Persekutuan” Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Pengiktirafan Sabah & Sarawak Sebagai “Wilayah” Tidak Sama Dengan Istilah “Wilayah Persekutuan” Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Isu tuntutan SABAH dan SARAWAK untuk diiktiraf sebagai “WILAYAH” telah banyak didebatkan dan kini di bawah Kerajaan yang diterajui ANWAR IBRAHIM, telah kembali, secara betul, sebagai topik yang perlu diberi keutamaan untuk dimuktamadkan.

Pada 20.01.2023 UTUSAN MALAYSIA bertajuk “Hak Sabah, Sarawak dalam MA63 antara perkara perlu diselesaikan segera – Anwar” telah memetik Perdana Menteri ANWAR IBRAHIM sebagai berkata:

“Tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara utama dan mustahak perlu diselesaikan, tegas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Anwar, perkara yang termaktub dalam perjanjian itu harus ditepati, begitu juga dengan tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap hak terhakis yang wajar dikembalikan.”

(Link Laporan : https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/hak-sabah-sarawak-dalam-ma63-antara-perkara-perlu-diselesaikan-segera-anwar/)

Lanjutan daripada itu, rakan pemberita telah menghubungi saya semalam, 24.01.2023 berkaitan maksud dan kesan istilah “WILAYAH” yang dirujuk secara betul dan tepat kepada SABAH dan SARAWAK sebagai perbezaan dengan istilah lama “NEGERI” yang diguna pakai sebelum ini, sepertimana untuk kesemua negeri lain di SEMENANJUNG.

Pandangan dan penjelasan ringkas saya itu telah dipetik oleh UTUSAN MALAYSIA 25.01.2023 bertajuk “‘Wilayah’ Sabah, Sarawak berbeza dengan Wilayah Persekutuan” yang mana laporan cetakannya adalah dimuat naik di Ruang Bawah.

UTUSAN MALAYSIA 25.01.2023 : ‘‘Wilayah’ Sabah, Sarawak berbeza dengan Wilayah Persekutuan’ –

(Link Laporan : https://www.utusan.com.my/berita/2023/01/wilayah-sabah-sarawak-berbeza-dengan-wilayah-persekutuan/)

“Penukaran status ‘negeri’ Sabah dan Sarawak kepada ‘wilayah’ adalah berbeza dengan kedudukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pewartaan wilayah kepada Sabah dan Sarawak bagi mengangkat kedudukannya sebagai entiti berautonomi yang mana negeri itu mepunyai kawalan ke atas urusannya sendiri.

Di samping itu, ia juga mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan secara bebas daripada kawalan luar dengan kesemua hak dikembalikan seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Wilayah dalam konteks Sabah dan Sarawak ini tiada kena-mengena dengan tiga Wilayah Persekutuan yang ada sekarang. Kita mesti lihat fakta dan sejarah di dalam MA63 yang mana Sabah, Sarawak dan Semenanjung membentuk negara Malaysia.

“Apabila Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada negara ini, ada syarat yang dikenakan berkenaan hak dan urus tadbir negerinya.

“Bagaimanapun, kesemua perkara dalam perjanjian telah diabaikan. Sebab itu, sekitar tahun 1970-an di mana pindaan Perlembagaan bermula, ia dinamakan sebahagian negeri dan seluruh negara menganggap kesemua negeri ini sama, tetapi sebenarnya tidak.

“Sebab ada hak dalam MA63 yang mengiktiraf mereka sebagai wilayah seperti yang dijanjikan. Itu hak mereka yang Persekutuan tidak tunaikan, katanya ketika dihubungi semalam.

Wilayah Persekutuan pula ialah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan.”

 

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )