KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Pemartabatan Bahasa Melayu & Kajian Semula Undang-Undang Negara Wajib Bermula Dengan Pengesahan Kewujudan Perlembagaan Persekutuan

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Pemartabatan Bahasa Melayu & Kajian Semula Undang-Undang Negara Wajib Bermula Dengan Pengesahan Kewujudan Perlembagaan Persekutuan

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

BAHASA MELAYU diiktiraf dan diletakkan di martabat tertinggi menurut peruntukan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, secara khususnya di bawah Perkara 152 yang mengatakan :

“Bahasa kebangsaan – 152. (1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh

Parlimen: Dengan syarat bahawa —

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.”

Hatta, sebagai Rakyat Malaysia yang sepatutnya patriotik, tanpa mengambil kira keturunan mahupun agama, dan berpandukan kepada RUKUN NEGARA KE-2, KE-3 dan KE-4, iaitu, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, ianya menjadi tanggungjawab kesemua kita untuk memartabatkan penggunaan BAHASA MELAYU sebagai BAHASA KEBANGSAAN, dalam kesemua urusan rasmi, mahupun kalau mampu, yang tidak rasmi sekalipun.

Pada 22.05.2022 HARIAN METRO bertajuk “Perlu perancangan rapi supaya Bahasa Melayu kembali jadi lingua franca” telah memetik Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB berkata :

“Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berharap skop kerjasama antara negara-negara Asean dapat dirancang dengan lebih rapi supaya Bahasa Melayu kembali dijadikan ‘lingua franca’.

Beliau berkata, ia termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan Bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara Asean dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi Asean,” katanya ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, di peringkat Asean penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Justeru katanya, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.”

Pada 17.06.2022 pula, Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB dalam memberi pandangan berkaitan keperluan penelitian semula undang-undang lapuk di negara telah dipetik sebagai berkata oleh BH ONLINE bertajuk “PM arah kaji 147 undang-undang lapuk” :

“Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk, sama ada dipinda atau dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata, ia adalah usaha kerajaan dalam melaksanakan transformasi undang-undang secara signifikan, yang mana penambahbaikannya akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Namun bagi saya, selari dengan hasrat Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB untuk memartabatkan BAHASA MELAYU seperti yang dirujuk di Perenggan 3 di atas, dan dalam menyulami keperluan menyelidik semula undang-undang negara seperti yang dirujuk di Perenggan 4 di atas , APA YANG LEBIH PENTING adalah :

“PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN sebagai undang-undang tertinggi negara diteliti dan disahkan kewujudannya dalam BAHASA MELAYU sebagai Bahasa Kebangsaan, kerana ianya amat MALU, JANGGAL dan PELIK untuk melaungkan pemartabatan kedudukan betul dan tepat BAHASA MELAYU di dalam negara mahupun di rantau Nusantara, sedangkan undang-undang tertinggi negara masih belum disahkan secara rasmi diwujudkan dalam BAHASA MELAYU” !!

Pendapat dan penjelasan saya ini telah dipetik oleh rakan pemberita dan dilaporkan THE NEW STRAITS TIMES 23.06.2022 bertajuk “Lawyer questions if Bahasa Melayu text of Federal Constitution is official”, yang mana adalah dimuat naik di Ruang Bawah.

https://www.nst.com.my/news/nation/2022/06/807387/lawyer-questions-if-bahasa-melayu-text-federal-constitution-official

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )