KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Najib Razak & “Merpati”!!

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Najib Razak & “Merpati”!!

 

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sejak beberapa hari lalu ada tertular satu tulisan TIDAK BERNAMA dan TIDAK BERTARIKH yang dimajukan di dalam beberapa “Whatsapp Group” yang bertajuk “Merpati is a codename for Najib” yang mengandungi alegasi berkaitan rentetan perisitiwa yang mendakwa kewujudan konspirasi di tahap tertinggi untuk menentukan NAJIB RAZAK @ MERPATI itu memperolehi layanan yang lebih “istimewa” dan bebas daripada sekatan-sekatan sedia ada di dalam Penjara Kajang yang tertakluk kepada pelbagai peraturan sedia ada di bawah Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000, yang terpakai terhadap kesemua BANDUAN yang ditahan di penjara biasa.

Dalam menjawab persoalan yang ditampilkan kepada saya berkaitan tulisan itu oleh beberapa rakan dalam “Whatsapp Group” berkaitan, semalam saya telah memberi pandangan awal tentang tulisan “Merpati is a codename for Najib” itu seperti yang dipetik dan dinyatakan semula di sini, seperti berikut:

“1. Pertama sekali, kena dapatkan kepastian kukuh berkaitan:

  1. Siapakah penulis, dan
  2. Adakah penulis itu BERANI tampilkan asas tulisannya.

Sehingga perkara di atas tidak dapat disahihkan, maka kandungan tulisan “MERPATI” itu bertaraf penglipur lara dongeng di sisi undang².

Yang keduanya, mana² pihak yang telah membaca “MERPATI” boleh terus ke Balai Polis untuk buat laporan berkaitan 2 perkara:

  1. Untuk siasatan dilakukan sama ada kandungan tulisan “MERPATI” itu benar atau tidak, dan jika benar untuk diambil tindakan terhadap kesemua pihak Menteri/penjawat awam yang bersubahat dalam penyelewengan proses pelaksanaan hukuman menurut prinsip undang², dan
  2. Kalau kandungan tulisan “MERPATI” itu didapati TIDAK BENAR, maka tindakan perlu pula diambil terhadap penulis di atas usaha sebaran fitnah yang boleh menggugat keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa yang melaksanakan proses hukuman menurut lunas undang² terhadap banduan.

Selepas laporan polis dibuat kena secara tekun tuntut dan gesa Ketua Polis Negara dan Pejabat Peguam Negara maklumkan secara berkala akan perkembangan siasatan, hasil siasatan dan tindakan lanjut Pejabat Peguam Negara berkaitan siasatan itu, dengan pengeluaran kenyataan demi kenyataan sehingga pihak berkuasa perlu beri penjelasan.

Pokoknya, jangan ikut emosi dalam hal berkaitan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang².

Mesti sahihkan fakta terlebih dahulu, sebelum ikut rasa hati yang beremosi, dan terus hendak mengambil langkah² membabi buta yang mungkin menjadi “mencalit arang di muka sendiri”.

Sekadar pandangan nilai 2.6 sen sahaja 😊”

Namun, pada awal pagi tadi pihak media MALAYSIAKINI 21.09.2022 bertajuk “Penjara sahkan Najib kini di Hospital Rehabilitasi Cheras” telah dalam mengesahkan sebahagian penulisan dalam tulisan “Merpati is a codename for Najib” berkaitan secara khusus usaha untuk mengaturkan perpindahan NAJIB RAZAK @ MERPATI ke  Hospital Rehabilitasi Cheras telah melaporkan:

“Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Dalam satu kenyataan, Jabatan itu berkata, selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh Pakar Perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.

“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Dato’ Sri Najib ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini.

“Dato’ Sri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” kata Jabatan itu.”

(Laporan lengkap MALAYSIAKINI 21.09.2022 bertajuk “Penjara sahkan Najib kini di Hospital Rehabilitasi Cheras” adalah dimuat naik di Ruang Bawah)

https://www.malaysiakini.com/news/636454

Sememangnya, bebas daripada tanggungjawab untuk melaksanakan hukuman penjara yang dikenakan ke atas mana-mana banduan oleh mana-mana Mahkamah, ianya juga menjadi tanggungjawab pihak Penjara untuk memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga, seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 37 Akta Penjara yang mengatakan:

“Banduan yang sakit

  1. (1) Dalam hal seseorang banduan yang dikurung dalam penjara mengalami sakit yang serius yang penjara itu tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi bagi rawatan banduan itu, Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, Pegawai Penjara terkanan selepasnya yang bertugas, boleh, atas perakuan seorang Pegawai Perubatan, membuat suatu perintah bagi pengalihan banduan itu ke sesuatu hospital kerajaan.

(2) Jika Pegawai Perubatan tidak ada untuk mengeluarkan perakuan bagi maksud subseksyen (1), Pegawai yang Menjaga, atau semasa ketiadaannya, Pegawai Penjara yang terkanan selepasnya yang bertugas, boleh membuat suatu perintah bagi pengalihan banduan itu ke sesuatu hospital kerajaan, tanpa perakuan seorang Pegawai Perubatan.

Jika pada pendapat Pegawai Perubatan sesuatu hospital kerajaan bahawa adalah perlu bagi seseorang banduan yang dialihkan ke hospital kerajaan di bawah subseksyen (1) atau (2) untuk dimasukkan dan terus berada di hospital kerajaan itu, Pegawai Perubatan hospital kerajaan itu hendaklah menghantar suatu perakuan yang menyatakan hakikat itu kepada Pegawai yang Menjaga penjara yang darinya banduan itu telah dialihkan—

(a) semasa banduan itu dimasukkan ke hospital kerajaan itu; dan

(b) semasa banduan itu dibenarkan keluar dari hospital kerajaan itu.”

Hatta, dengan keadaan di mana pihak Penjara telah mengesahkan kemasukan NAJIB RAZAK @ MERPATI ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) yang secara kebetulan telah diramalkan sebagai satu “konspirasi terancang” melibatkan pihak atasan pimpinan dan penjawat awam negara dalam tulisan “Merpati is a codename for Najib”, maka ianya menjadi TERAMAT PENTING bagi tujuan menentukan kepercayaan Rakyat terhadap kesemua agensi tadbir urus negara tidak terhakis dengan persepsi negatif berkaitan “layanan istimewa” ataupun “undang-undang dua darjat” kepada NAJIB RAZAK @ MERPATI itu, supaya pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan iaitu Perdana Menteri ISMAIL SABRI YAAKOB serta Menteri Kesihatan KHAIRY JAMALUDDIN dan Menteri Dalam Negeri HAMZAH ZAINUDIN dengan TELUS dan JELAS mengeluarkan KENYATAAN RASMI dengan disokong rentetan peristiwa dan dokumen sokongan kesihatan daripada kesemua pihak yang perlu menurut peruntukan Seksyen 37 Akta Penjara 1995, bagi menzahirkan bahawa proses pelaksanaan hukuman penjara terhadap NAJIB RAZAK @ MERPATI itu telah TIDAK DISALAH GUNA ataupun TIDAK DIBIARKAN untuk DISALAH GUNAKAN oleh mana-mana pihak!!

Begitu juga ianya kini menjadi TERAMAT PENTING bahawa saranan saya dalam menjawab persoalan di “Whatsapp Group” yang dipetik semula di Perenggan 2 di atas adalah dilaksanakan dengan sebaiknya oleh kesemua Rakyat yang prihatin. iaitu:

  1. Pertama sekali, kena dapatkan kepastian kukuh berkaitan:
  2. Siapakah penulis, dan
  3. Adakah penulis itu BERANI tampilkan asas tulisannya,
  4. Yang keduanya, mana-mana pihak yang telah membaca “Merpati is a codename for Najib”, boleh terus ke Balai Polis untuk buat laporan berkaitan 2 perkara:
  5. Untuk siasatan dilakukan sama ada kandungan tulisan “Merpati is a codename for Najib” itu benar atau tidak, dan jika benar untuk diambil tindakan terhadap kesemua pihak Menteri atau penjawat awam yang bersubahat dalam penyelewengan proses pelaksanaan hukuman menurut prinsip undang-undang, dan
  6. Kalau kandungan tulisan “Merpati is a codename for Najib” itu didapati TIDAK BENAR, maka tindakan perlu pula diambil terhadap penulis di atas usaha sebaran fitnah yang boleh menggugat keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa yang melaksanakan proses hukuman menurut lunas undang-undang terhadap banduan,
  7. Selepas laporan polis dibuat kena secara tekun tuntut dan gesa Ketua Polis Negara dan Pejabat Peguam Negara maklumkan secara berkala akan perkembangan siasatan, hasil siasatan dan tindakan lanjut Pejabat Peguam Negara berkaitan siasatan itu, dengan pengeluaran kenyataan demi kenyataan sehingga pihak berkuasa perlu beri penjelasan,

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )