KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Mahkamah Persekutuan putuskan saya bersalah menghina mahkamah

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Mahkamah Persekutuan putuskan saya bersalah menghina mahkamah

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sejak didaftar dan diterima masuk sebagai sorang Peguambela & Peguamcara pada 08.05.1992, iaitu hampir 29 tahun yang lalu, saya seringkali berpegang pada tanggungjawab saya untuk mendukung prinsip KEDAULATAN UNDANG-UNDANG (Rule of Law) dan menegakkan martabat setiap lapisan MAHKAMAH, apatah lagi MAHKAMAH PERSEKUTUAN sebagai MAHKAMAH TERTINGGI di negara kita.

Sememangnya ianya menjadi tanggungjawab utama seseorang Peguambela & Peguamcara seperti saya, untuk menghormati dan menegakkan konsep kehormatan MAHKAMAH sebagai institusi yang melaksanakan sistem keadilan negara dan sebagai salah satu cabang dalam sistem semak dan imbang tadbir urus negara di bawah PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, yang mana saya sesungguhnya percaya saya telah cuba sedaya upaya untuk laksanakan selama ini.

Walhal, saya juga berpegang kepada prinsip tegas untuk memberi penjelasan kedudukan perundangan dan kehakiman mana-mana isu yang timbul berkaitan kedaulatan undang-undang dari masa ke semasa, samada melalui penulisan saya mahupun ulasan audi visual dan rancangan wawancara semasa, untuk pengetahuan dan fahaman kesemua rakyat yang prihatin dengan penuh harapan bahawa masyarakat kita akan dapat menambah fahaman sistem kehakiman dan perundangan yang seterusnya akan menaikkan tahap hormat kesemua pihak kepada sistem keadilan negara.

Namun, pada masa yang sama, ianya juga menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang Peguambela & Peguamcara untuk memajukan sebarang permohonan dan hujah yang dibenarkan di sisi undang-undang di medan MAHKAMAH, atas konsep “TANPA GUNDAH-GANJARA” (Without Fear or Favor), yakni, apa yang penting adalah keadilan sejati dan bukannya kepentingan diri atau anakguam semata-mata, supaya keadilan bukan sahaja dapat dilakukan tetapi jelas tampak sememangnya dilakukan (justice must not only be done, but must be seen to be done)

Malangnya, pada hari ini, iaitu hari pertama amalan guaman saya pada tahun 2021 ini,  buat kali pertama dalam kerjaya saya di medan MAHKAMAH, kedua-dua tanggungjawab saya sebagai seorang Peguambela & Peguamcara yang saya berpegang dengan cukup tegas, iaitu tanggungjawab sebagai pegawai MAHKAMAH untuk menghormati dan menegakkan konsep kehormatan MAHKAMAH sebagai institusi yang melaksanakan sistem keadilan negara dan juga tanggungjawab saya sebagai pegawai MAHKAMAH untuk memajukan sebarang permohonan dan hujah yang dibenarkan di sisi undang-undang di medan MAHKAMAH, atas konsep “TANPA GUNDAH-GANJARA” (Without Fear or Favor), telah perlu diadili sebagai BERTEMBUNG dan BERBALAH !

Pada hari ini, 04.01.2021, MAHKAMAH PERSEKUTUAN telah mendapati bahawa dalam satu kes komersil yang bermula di MAHKAMAH TINGGI IPOH, di mana pelantikan saya cuma terlibat di tahap nasihat guaman, pemfailan dan hujahan bekaitan Permohonan SEMAKAN  lanjutan di MAHKAMAH PERSEKUTUAN dan pemohonan PENGGANTUNGAN PROSIDING PENGHINAAN di MAHKAMAH TINGGI IPOH berhubung kesemua ankaguam saya, pada ketika itu, merupakan satu PENGHINAAN MAHKAMAH yang dikatakan telah mengakibatkan kemungkiran tanggungjawab saya sebagai seorang pegawai MAHKAMAH !

Saya menulis pada hari ini, bukannya untuk membincangkan secara khusus akan KEPUTUSAN itu, tetapi dalam melaksanakan tanggungjawab saya sebagai Peguambela & Peguamcara untuk secara profesional dan konsisten, memberi maklumat tentang kewujudan KEPUTUSAN ini yang diumumkan oleh MAHKAMAH PERSEKUTUAN pada hari ini, seperti mana yang saya sering tulis dan ulas berhubung mana-mana perkembangan sistem kehakiman dan perundangan dari masa ke semasa sebelum ini,, walaupun ianya melibatkan dan terhadap diri saya secara peribadi.

Dalam mendukung dan menjulang penegakan prinsip KEDAULATAN UNDANG-UNDANG, saya secara peribadi TIDAK PENTING ! Yang penting adalah pemahaman dan penegakan sistem keadilan negara !

Saya juga perlu nyatakan dengan jelas, walaupun pada setiap saat dan setiap detik selepas pelantikan saya yang dinyatakan di atas, saya sesungguhnya percaya bahawa apa yang saya lakukan itu adalah sah dan tepat di sisi undang-undang, tetapi apabila MAHKAMAH PERSEKUTUAN mengumumkan KEPUTUSAN KEBERSALAHAN PENGHINAAN MAHKAMAH terhadap saya, maka pada saat dan ketika itu, dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai MAHKAMAH untuk menghormati dan menegakkan konsep kehormatan MAHKAMAH sebagai institusi yang melaksanakan sistem keadilan negara, saya perlu dan wajib akur, hormat dan terima KEPUTUSAN itu sebagai KEPUTUSAN SAH, dan seterusnya saya perlu juga MEMOHON MAAF di atas kesalahan seperti dapatan MAHKAMAH itu, seperti mana yang telah saya lakukan tadi di MAHKAMAH !!

Setiap pertikaian di medan MAHKAMAH wajib diNOKTAHkan, dan NOKTAHnya dalam kes ini adalah KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN pada hari ini yang mendapati saya BERSALAH MENGHINA MAHKAMAH ! Dalam pepatah Inggeris : ” The buck must stop here” !!

Walau apa sekalipun, dengan izin ALLAH S.W.T., dalam melaksanakan mana-mana pertikaian MAHKAMAH selepas ini, saya masih akan berpegang teguh dan tegas kepada tanggungjawab saya untuk memajukan sebarang permohonan dan hujah yang dibenarkan di sisi undang-undang di medan MAHKAMAH, atas konsep “TANPA GUNDAH-GANJARA” (Without Fear or Favor), tanpa mana-mana kesan negatif atau kekhuatiran masa depan  akibat daripada KEBERSALAHAN PENGHINAAN MAHKAMAH yang diumumkan pada hari ini, IN SHAA ALLAH !!

TANPA GUNDAH – GANJARA !!!

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )