KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Kenyataan Tengku Zafrul Adalah Tidak Benar & Palsu – Tiada Halangan Perundangan Untuk Gubal Ordinan Darurat Bagi Tujuan Moratorium Wajib

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Kenyataan Tengku Zafrul Adalah Tidak Benar & Palsu – Tiada Halangan Perundangan Untuk Gubal Ordinan Darurat Bagi Tujuan Moratorium Wajib

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera :

Dalam PERUTUSAN KHAS oleh Perdana Menteri TS MUHYIDDIN YASSIN pada 31.05.2021,`pihak media MALAYSIAKINI 31.05.2021 bertajuk “Moratorium 3 bulan untuk B40, rakyat hilang pekerjaan” telah melaporkan :

“Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemberian moratorium automatik selama tiga bulan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang kehilangan pekerjaan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, inisiatif itu juga ditawarkan kepada perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhanan (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Saya juga mendengar permintaan rakyat supaya kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.

“Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam  tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan,” katanya dalam perutusan khas malam ini.”

(Link Laporan : https://www.malaysiakini.com/news/576979)

Terdapat beberapa pihak yang telah bangkitkan persoalan lanjut tentang keperluan pihak Kerajaan menyediakan fasiliti untuk MORATORIUM MENYELURUH secara khususnya kepada kesemua dalam golongan B40 dan mereka dalam M40 yang terjejas akibat daripada permasalahan ekonomi sejak kewujudan pandemik COVID-19 dan PKP-PKP sebelum ini.

Ia adalah supaya kebolehan dalam pematuhan ketat “FULL LOCKDOWN” yang diperlukan untuk mengatasi pandemik COVID-19 pada masa ini, dapat dipatuhi dengan ketat tanpa menjejaskan keupayaan sara diri golongan-golongan yang terjejas kewangan mereka ini.

Menjawab hal ini, Menteri Kewangan Senator TENGKU ZAFRUL telah dipetik oleh MALAYSIAKINI 01.06.2021 bertajuk “Moratorium menyeluruh – Zafrul perjelas kerajaan tak boleh paksa bank” sebagai berkata :

“Anda kena faham kerajaan tidak mengawal atau memiliki bank, betul tak?” katanya.

“Ini perbincangan antara Bank Negara dan bank-bank. Kami tidak memiliki kemampuan undang-undang untuk memaksa bank melakukan (apa yang kami mahukan),” katanya.

(Laporan Penuh berkaitan adalah dimuat naik di Ruang Bawah)

Secara JUJUR dan IKHLAS saya mengatakan bahawa kenyataan TENGKU ZAFRUL bahawa kononnya Kerajaan yang kini memegang kuasa tadbir urus semasa DARURAT di bawah Seksyen 11(a) ORDINAN DARURAT #1 itu, kononnya TIDAK MEMPUNYAI KUASA ke atas bank-bank komersil, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan itu, adalah TIDAK BENAR, malah PALSU, dalam hal keadaan dan kuasa gubalan ORDINAN semasa penguatkuasaan DARURAT!!

Saya telah berulang kali menyatakan dalam TULISAN dan VIDEO saya sebelum ini bahawa Kerajaan kini, yang memegang kuasa tadbir urus negara semasa DARURAT sepertimana telah dilakukan dalam gubalan ORDINAN-ORDINAN lain sebelum ini, boleh gubal ORDINAN KHAS untuk PAKSA kesemua bank komersil dan syarikat kewangan lain dalam memberi “MORATORIUM PAKSA’ mengikut keperluan yang difirkan wajib untuk membantu kesemua mereka yang berada dalam kategori B40.

Mahupun golongan yang terkesan dalam kategori M40 sekalipun, kerana ORDINAN DARURAT boleh digubal untuk perkara KHAS ini, tanpa keperluan persetujuan Bank Negara, Bank-Bank Komersil mahupun Syarikat-Syarikat Kewangan, kerana dalam keadaan kecemasan semasa DARURAT ianya adalah WAJIB untuk diadakan penyelesaian yang TEGAS dan KERAS!

Dalam Siri : 2069 bertarikh 01.05.2020 yang lalu, saya telah menyatakan :

“Secara ringkas, KALAU, iaitu KALAU, yakni KALAUlah hasrat Kerajaan di bawah Pakej Rangsangan COVID-19, kini tidak terzahir/tidak dituruti/hendak di “U-Turn” oleh bank komersil, maka KUASA masih di tangan KERAJAAN untuk gubal Akta Ekonomi Kecemasan COVID-19 dan WUJUDkan terma jelas dalam Akta itu bahawa kesemua pinjaman yang berkenaan di bawah kesemua bank komersil yang terlibat WAJIB mengatasi mana-mana terma terdahulu dalam kontrak pinjaman bank terbabit atau mana-mana peruntukan Akta-Akta Kewangan/Pinjaman lain yang terdahulu.

Tidak ada sebab Rakyat ataupun Kerajaan kena ikut telunjuk Bank Komersil untuk semata-mata menuruti terma perjanjian mahupun peruntukan mana-mana Akta terdahulu, kerana prinsip KEDAULATAN UNDANG-UNDANG membenarkan “pengecewaan” kontrak (“frustration” of contract) diwujudkan melalui gubalan Akta Parlimen, demi kesejahteraan negara dalam keadaan kecemasan.

Sesungguhnya, ianya adalah semudah itu di sisi undang-undang. As simple as that.”

Dalam Siri : 2438 bertarikh 14.01.2021 saya telah menulis dan menyertakan satu VIDEO yang diterbitkan oleh THE MALAYSIAN INSIGHT berkaitan perkara ini :

“Namun, bebas daripada isu itu, kewujudan DARURAT KESIHATAN ini, boleh diambil peluang untuk diwujudkan pelbagai ENAKMEN KECEMASAN yang perlu untuk meringankan beban ekonomi/kewangan Rakyat serta menyelesaikan beberapa isu keadilan dan politik negara.

Di atas permintaan rakan pemberita dari THE MALAYSIAN INSIGHT berhubung perkara di atas, saya telah memberikan pandangan saya dalam bentuk “Pesanan Audio” yang telahpun diubahsuai dalam bentuk Video oleh pihak THE MALAYSIAN INSIGHT, dan dikongsi di Ruang Bawah untuk tontonan dan kemudahan fahaman para pembaca.”

Dalam Siri : 2441 bertarikh 15.01.2021 pula saya telah menulis dan tampilkan Laporan Media MALAYSIA NOW bertajuk “Kuasa darurat boleh digunakan untuk ringankan beban rakyat, kata penganalisis” seperti berikut :

“Sepertimana yang telah saya tekankan dalam ULASAN saya dalam Video di Siri : 2437 dan diringkaskan dalam Video THE MALAYSIAN INSIGHT yang dimuat naik di Siri : 2438, pihak MALAYSIA NOW 15.01.2021 bertajuk “Kuasa darurat boleh digunakan untuk ringankan beban rakyat, kata penganalisis”, juga telah memetik antara cadangan saya berhubung keperluan pihak berkuasa menggubal satu ENAKMEN semasa DARURAT KESIHATAN ini untuk membolehkan “MORATORIUM PAKSAAN” diwujudkan untuk menentukan pihak bank dan syarikat kewangan TIDAK BOLEH memaksa bayaran ansuran bulanan/berkala mahupun untuk menamatkan mana-mana perjanjian kewangan di atas keingkaran peminjam.

ENAKMEN KECEMASAN EKONOMI untuk “MORATORIUM PAKSAAN” ini boleh digubal di bawah Perkara 150(2B) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN tanpa diluluskan Parlimen, dan cuma melalui “DIKRI KeBawah Duli YDP AGONG” dan akan berkuatkuasa sehingga tempoh ENAM (6) BULAN selepas penamatan DARURAT, yakni jika DARURAT ditamatkan pada 01.08.2021, iaitu tarikh awal penamatan itu, maka menurut peruntukan Perkara 150(7) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN pula, mana-mana ENAKMEN KECEMASAN EKONOMI untuk “MORATORIUM PAKSAAN” akan terus berkuatkuasa sehingga 31.01.2022!”

Saya dengan ini KESAL dan SEDIH dengan kenyataan Menteri Kewangan yang TIDAK BETUL dan PALSU itu, dan CABAR beliau untuk patuh kepada keperluan Rakyat dan jangan berselindung di belakang KEPALSUAN PERUNDANGAN, ataupun buktikan saya salah!!

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )