KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Kenyataan Pakatan Harapan Menolak Cadangan “Mageran” Tanpa Fahaman Lengkap Menzahirkan & Membuktikan Sistem Politik Negara Secara Keseluruhannya Berada Dalam Keadaan “Darurat” Yang Melampau!!

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Kenyataan Pakatan Harapan Menolak Cadangan “Mageran” Tanpa Fahaman Lengkap Menzahirkan & Membuktikan Sistem Politik Negara Secara Keseluruhannya Berada Dalam Keadaan “Darurat” Yang Melampau!!

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera:

Pada 10.06.2021, media telah memetik Kenyataan TUN DR MAHATHIR berhubung sesi pertemuan beliau dengan KeBawah Duli YDP AGONG, di mana TUN DR MAHATHIR memaklumkan cadangan dan saranan pembentukan satu JAWATANKUASA PENASIHAT DIRAJA DARURAT  ala MAGERAN 1969, dibentuk oleh KeBawah Duli YDP AGONG bagi tujuan khusus mentadbir urus negara semasa DARURAT untuk menangani 4 krisis khusus yang dialami negara iaitu masalah kesihatan Covid-19, masalah ekonomi dan kewangan, masalah sosial dan masalah ketidakstabilan politik.

Pada dasarnya, cadangan dan saranan ini mempunyai asas yang kukuh, malah tidak juga bercanggah dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan, kerana pada hakikatnya, majoriti Rakyat bersetuju bahawa Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang sejak 11.01.2021 diberi tanggungjawab  oleh KeBawah Duli YDP AGONG untuk mentadbir urus negara semasa pelaksanaan DARURAT ini di bawah Seksyen 11(a) ORDINAN DARURAT #1, sememangnya GAGAL dalam melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik dan teratur untuk meyakinkan Rakyat dan juga KeBawah Duli YDP AGONG bahawa DARURAT yang diisytiharkan telah digunakan secara betul untuk menangani pandemik Covid-19 dan permasalahan ekonomi dan bebanan kewangan yang dialami Rakyat.

Walhal, apa yang lebih jelas adalah peruntukan-peruntukan khusus dalam pelbagai ORDINAN DARURAT yang digubal semasa DARURAT ini lebih kepada pemeliharaan kuasa dan kedudukan Kerajaan PN semata-mata, dan bukannya kepentingan Rakyat dan negara sama sekali, sebagai conton penggantungan persidangan Parlimen dan DUN serta penggantungan pematuhan kepada keperluan semak dan imbang dalam perbelanjaan dana Perbendaharaan.

Hatta, kesemua pihak politik di luar dari Kerajaan akan setuju bahawa Kerajaan PN, sudahpun hilang HAK MORAL untuk melaksanakan tanggungjawab tadbir urus negara semasa DARURAT ini!

PERSOALAN TERPENTING :

Namun, pada masa yang sama persoalan penting yang perlu dilihat secara jujur dan objektif oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya para pemimpin politik dalam gabungan PAKATAN HARAPAN (PH) sekalipun adalah :

“Adakah sistem POLITIK di negara ini yang merentasi sempadan Kerajaan dan Pembangkang, yakni secara ringkas, sama ada PN mahupun PH, berada dalam keadaan stabil, untuk penukaran pemerintahan Kerajaan dalam keadaan biasa (di luar DARURAT) diadakan, yakni bolehkan pelantikan seorang Perdana Menteri baharu dan seterusnya pembentukan satu KERAJAAN GABUNGAN baharu, boleh dilakukan dengan yakin dan pasti, tanpa menampilkan permasalahan yang sama yang telah berlaku sejak 23.02.2020??!!”

Dari sudut ketidakstabilan politik, negara kita masih tidak mempunyai peruntukan Perlembagaan dan/atau peruntukan undang-undang yang boleh mencacatkan aktiviti “LOMPAT PARTI” sehingga mana-mana KERAJAAN GABUNGAN masih akan berdepan ugutan dan tekanan tidak wajar yang berkepentingan kemandirian politik ahli politik semata-mata, tanpa mengambilkira kepentingan dan kesejahteraan Rakyat dan negara.

Begitu juga, negara kita masih juga tidak mempunyai mana-mana peruntukan khusus berkaitan “POLITICAL FUNDING” secara berkanun yang sah, yang menjadi antara sebab utama, mana-mana KERAJAAN GABUNGAN akan menghadapi permasalahan melalui segelintir pemimpin yang menyalahgunakan kuasa untuk mengaut “POLITICAL FUNDING” secara salah dan/atau jenayah, yang akan lebih menggugat satu KERAJAAN GABUNGAN yang baharu dan tanpa ikatan kuat antara parti-parti yang berpaut semata-mata untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu untuk membentuk satu KERAJAAN GABUNGAN baharu, yang semestinya masih rapuh dan lemah.

Di atas dua sebab utama ini, Rakyat sudahpun HILANG KEPERCAYAAN dengan kebolehan sistem dan struktur POLITIK biasa berjalan dengan baik demi kepentingan dan kesejahteraan Rakyat dan negara pada masa ini, melainkan isu “LOMPAT PARTI” dan “POLITICAL FUNDING” dapat ditangani terlebih dahulu.

PERSOALAN LANJUTAN :

Hatta, ianya membawa kita kepada beberapa soalan lanjutan yang perlu dijawab dengan jujur dan ikhlas, yang akan menzahirkan dengan jelas sebab mengapa di tahap ini, yakni tatkala DARURAT yang dilaksanakan sejak 11.01.2021 sewajarnya digunakan sebaiknya untuk menangani masalah-masalah ini sebelum Rakyat boleh diminta dengan yakin untuk kembali ke peti undi di PRU-15 bagi meletakkan kepercayaan pada sistem dan struktur POLITIK di negara kita nanti.

Antara persoalan lanjutan:

  1. Bolehkan mana-mana peruntukan perundangan yang perlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berhubung kehilangan kerusi mana-mana Ahli Parlimen yang “LOMPAT PARTI” sehingga menjatuhkan Kerajaan yang dipilih, boleh digubal oleh Dewan Rakyat melalui mana-mana KERAJAAN GABUNGAN yang rapuh, longgar dan bermajoriti kecil?!
  2. Adakah ianya dalam kepentingan mana-mana PARTI POLITIK yang ada di negara kita pada masa ini untuk adakan apa-apa peruntukan perundangan berkaitan anti “LOMPAT PARTI” dan “POLITICAL FUNDING” yang diidamkan dan dituntut Rakyat?!
  3. Bukankah, antara DUA keperluan utama untuk pembaikpulihan sistem dan struktur POLITIK negara ini, cuma boleh dilakukan dengan AMAT BERKESAN, sekiranya Dewan Rakyat dipanggil bersidang semasa dalam DARURAT bagi tujuan gubalan dan/atau pindaan peruntukan Perlembangan Persekutuan dan Akta yang perlu, yang mana secara psikologi dan praktikalnya akan menjadi dorongan kepada kesemua Ahli Dewan Rakyat untuk meluluskan undang-undang mengekang “LOMPAT PARTI” dan pembersihan “POLITICAL FUNDING” itu dengan lebih mudah dan dengan majoriti undi sampai ke tahap dua pertiga, jika perlu?!

KESIMPULAN :

Oleh itulah, di tahap ini walaupun Kerajaan PN sudah sememangnya hilang HAK MORAL untuk mengemudi tadbir urus negara semasa DARURAT, tetapi penukaran Perdana Menteri baharu dan penubuhan KERAJAAN GABUNGAN baharu sememangnya TIDAK LANGSUNG membantu Rakyat dan Negara.

Walhal, pelaksanaan tempoh DARURAT ini perlu diambil peluang oleh kesemua para pemimpin POLITIK untuk sepatutnya bersetuju bahawa tanggungjawab tadbir urus negara semasa DARURAT diletakkan di tangan sebuah JAWATANKUASA PENASIHAT DIRAJA DARURAT yang tidak mempunyai pengaruh mana-mana ahli politikus yang aktif sama-sekali, tetapi negarawan-negarawan yang telah berjaya membawa negara melalui pelbagai KRISIS pada masa-masa terdahulu.

Oleh kerana itulah, walaupun pada hakikatnya saya TIDAK TERKEJUT, namun sememangnya SEDIH dan KECEWA demi kepentingan Rakyat dan negara, bahawa tokoh-tokoh pimpinan Pembangkang PH telah secara semberono TOLAK SEKALIGUS, tanpa mendalami hasrat dan tujuan disarankan pembentukan JAWATANKUASA PENASIHAT DIRAJA DARURAT ala MAGERAN 1969 bagi tujuan tadbir urus negara semasa DARURAT, dan TANPA PENAMATAN DARURAT secara sekaligus, seperti yang dilaporkan MALAYSIAKINI 11.06.2021 bertajuk “PH tolak cadangan tubuh Mageran”:

“PH menolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), seperti pada 1969, yang dibawa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

PH sebaliknya sekali lagi menggesa penguatkuasaan darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang.”

(Laporan lengkap MALAYSIAKINI 11.06.2021 bertajuk “PH tolak cadangan tubuh Mageran” adalah dimuat naik di Ruang Bawah)

Secara objektifnya, demi meletakkan kepentingan Rakyat dan negara di tahap tertinggi, seperti yang sepatutnya, ianya adalah diharapkan kesemua para pemimpin POLITIK dari kesemua PARTI POLITIK, sama ada di pihak Kerajaan PN mahupun di pihak Pembangkang PH dapat untuk kali ini, sama-sama bersetuju untuk selesaikan KEMELUT dan DARURAT POLITIK yang dilalui negara dengan meletakkan tadbir urus negara di tangan sebuah JAWATANKUASA PENASIHAT DIRAJA DARURAT dan meneruskan dengan pelaksanaan DARURAT sehingga permasalahan DARURAT KESIHATAN dan DARURAT POLITIK yang perlu ditangani dapat diselesaikan, sebelum DARURAT ditamatkan dan Rakyat dengan yakin boleh melangkah ke peti undi pada PRU-15 kelak.

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )