KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Hak Banduan Akhir Untuk Perolehi Pengguguran Hukuman Mati Mandatori

KOLUMNIS HANIFF KHATRI: Hak Banduan Akhir Untuk Perolehi Pengguguran Hukuman Mati Mandatori

Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin, Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Lanjutan daripada Video yang dimuat naik saya di Siri : 3355, penjelasan dan huraian di sana telah dipetik oleh UTUSAN MALAYSIA 11.06.2022 bertajuk “Dilema 2,000 banduan akhir, berhak dapat hukuman gantian” dan keratan akhbarnya adalah dimuat naik di Ruang Bawah.

UTUSAN MALAYSIA 11.06.2022 :

‘Dilema 2,000 banduan akhir, berhak dapat hukuman gantian’ – Haniff Khatri :

“Nasib 2,000 banduan akhir yang menunggu untuk digantung sampai mati perlu disemak semula ekoran pengumuman kerajaan memansuhkan hukuman tersebut.

Mereka berhak mendapat hu­kuman gantian yang boleh ditentukan oleh Lembaga Pe­ngampunan berikutan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan perlu memfailkan pe­tisyen rayuan 2,000 banduan akhir kepada Lembaga berkenaan kerana hukuman mati mandatori berhak diringankan seperti dijelaskan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, pesalah terbabit berhak mendapat hukuman lain seperti penjara seumur hidup atau penjara sepanjang hayat dengan mengambil kira Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan semua rakyat Malaysia mendapat hak dan perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

“Walaupun petisyen rayuan pesalah pernah ditolak Lembaga Pengampunan, kerajaan boleh mewakili mereka untuk memfailkan petisyen supaya langkah kerajaan memansuhkan hukuman mandatori itu dilihat adil kepada rakyat.

Oleh itu, kerajaan wajar mengambil kira pesalah yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori sekiranya mahu memansuhkan hukuman itu dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah seperti diputuskan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menambah pemansuhan hukuman mati mandatori bukanlah bermaksud menghapuskan hukuman mati secara menyeluruh. Sebaliknya ia memberi pilihan kepada mahkamah untuk menentukan hukuman lain seperti penjara.

Jelasnya lagi, proses pemansuhan itu memerlukan masa kerana terdapat banyak akta yang memperuntukkan hukuman mati perlu dipinda menerusi proses Parlimen.

“Langkah memansuhkan ini wajar kerana memberi ruang kepada mahkamah untuk memberi hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah apabila hukuman mandatori mati tidak memberi pilihan kepada hakim memberikan hukuman lain berbanding hukuman gantung sampai mati,” katanya.

DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA!!!

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )