KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Undi 18 dan Perlembagaan Persekutuan

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Undi 18 dan Perlembagaan Persekutuan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun (undi 18) adalah dibuat dengan sokongan lebih 2/3 majoriti Ahli Dewan Rakyat termasuk semua parti politik, blok kerajaan dan pembangkang. Ini bermakna kelulusan pindaan Perlembagaan ini disokong oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah sekarang.

Justeru, Pakatan Harapan (PH) yang membawa cadangan pindaan Perlembagaan ini bersikap ‘walk the talk’ dengan tuntutan pindaan Perlembagaan ini dilaksanakan sekarang. Rakyat terutama orang muda harus konsisten menuntut pelaksanaan undi 18.

Pindaan Perlembagaan ini adalah satu anjakan dalam amalan demokrasi di negara ini dalam mematangkan rakyat tentang hak-hak asasi yang diberikan Perlembagaan Persekutuan.

Mengundi adalah salah satu hak asasi seseorang warganegara dan apabila orang muda didedahkan awal tentang hak ini, kematangan anak muda akan dibina awal dan mereka diberikan pendedahan tentang pentingnya peranan mereka dalam tatakelola pentadbiran negara.

Dasar kerajaan biasanya memberikan impak kepada kehidupan anak muda, justeru mereka perlu diberi peluang menentukan siapakah pembuat dasar bagi kehidupan mereka.

Penangguhan pelaksanaan undi 18 ini seolah-olah merendahkan tahap pemikiran orang muda hari ini yang semakin matang dengan isu-isu semasa hasil kemudahan internet dan media sosial.

Dijangkakan terdapat penambahan 3.8 juta pengundi baharu jika undi 18 dilaksanakan yang menjadi kebimbangan kerajaan PN berhadapan PRU-15 ini. Tunaikan janji undi 18, jika tidak kerajaan PN gagal ‘walk the talk’ dan pasti ditolak pengundi dalam PRU-15 ini dengan PH menjadi pilihan atas kejayaan 22 bulan pemerintahan.

Faiz Fadzil

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )