KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Talaq Tiga; Perlukah Ijtihad Baharu?

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Talaq Tiga; Perlukah Ijtihad Baharu?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tular isu talaq 3 melibatkan satu pasangan yang dikatakan merujuk kembali. Bagi menjelaskan isu ini secara undang-undang supaya tidak timbul kekeliruan dari sudut hukum syara’, undang-undang dan kedudukan sosial, seharusnya pihak-pihak merujuk ke Mahkamah Syariah untuk dibuat satu keputusan muktamad.

Saya pernah mengendalikan satu kes talaq 3 satu pasangan yang suaminya menceraikan dengan lafaz talaq satu sebanyak 3 kali dalam 3 kejadian berbeza. Di peringkat rayuan ketika saya dilantik mewakili pasangan ini, rayuan dibenarkan dan hanya 1 talaq disahkan oleh Mahkamah Syariah. Hujah dibawa berdasarkan hukum dan pendapat ulama terutama pandangan Ibn Taimiyyah.

Sungguhpun kes yang tular itu mungkin berbeza fakta, namun tidak salah untuk hukum talaq 3 pada satu lafaz itu dikaji semula. Ini adalah kerana menurut satu riwayat oleh Muslim dan Ibn Abbas, talaq sebegini di zaman Rasulullah SAW dikira 1 talaq. Hukum ini ditukar kepada 3 talaq di zaman Khalifah Umar al-Khattab demi kemaslahatan umat ketika itu kerana dikatakan talaq begitu mudah digunakan.

Oleh kerana keadaan dan tuntutan zaman sudah berubah, tidak ada salahnya hukum sebegini dikaji semula melalui ijtihad ulama. Kepentingan umat menjadi keutamaan dan itulah tujuan syariah (maqasid syariah).

Umat sekarang mungkin kurang berpengetahuan agama dan keadaan sekeliling yang terlalu menekan kehidupan, menuntut satu pendekatan baharu dalam ijtihad hukum sebegini. Asas sesuatu hukuman itu adalah keadilan.

Saya berpendapat bahawa pendekatan Mahkamah Syariah perlu lebih progresif dan kontemporari dan tidak terikat dengan satu aliran hukum sahaja. Kaedah fiqh perlu diperluaskan supaya hukum yang digunapakai dalam menjatuhkan keputusan kelak mengambil kira semua keadaan dan kesan kepada kedudukan sosial pasangan, keluarga dan masyarakat.

Kehidupan zaman sudah berubah dan hukum yang bersifat zanni atau mutaghayyirat boleh diijtihadkan demi kepentingan umat mengikut keadaan zaman semasa.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )