KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Ringgit Jatuh Tekan Ekonomi Rakyat, Kenyataan Tengku Zafrul Jelas Tidak Pedulikan Nasib Rakyat

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Ringgit Jatuh Tekan Ekonomi Rakyat, Kenyataan Tengku Zafrul Jelas Tidak Pedulikan Nasib Rakyat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Ringgit sudah jatuh ke paras paling teruk dalam 24 tahun, berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Setiap 1 dolar AS kini bernilai RM4.54. Kemerosotan ringgit ini akan memberikan kesan yang besar terhadap Malaysia, sebagai contoh peningkatan hutang bon 1MDB. Dengan kejatuhan ringgit ini, nilai hutang 1MDB dijangka bertambah RM7.7 bilion. Bayaran hutang yang tinggi ini sudah pasti mengurangkan dana negara.

Rakyat Malaysia pula turut akan terhimpit teruk, memandangkan 60% makanan Malaysia diimport dari luar dan kos import makanan setakat 2021 mencecah RM64 bilion. Kesannya, harga barang makanan akan terus naik dan ini menekan ekonomi rakyat termasuk golongan B40 dan M40.

Namun, kerajaan BN-BERSATU-PAS tidak ada langkah proaktif untuk mengurangkan kesan kejatuhan ringgit atas kos makanan. Yang disibukkan adalah desakan mengadakan pilihan raya umum walaupun di musim banjir. Menteri Kewangan Tengku Zafrul pula hanya memikirkan pemotongan subsidi yang jelas tidak mempedulikan nasib rakyat. Malahan, hingga sekarang, masih tidak ada kaedah reformasi struktur untuk mengurangkan kesan kejatuhan ringgit terhadap harga makanan.

Sepatutnya, Pasukan Jihad Inflasi pimpinan Annuar Musa sudah berbincang dengan negara-negara alternatif untuk mengimport makanan, di mana dolar AS tidak digunakan sebagai medium pertukaran. Di samping itu, kerajaan juga harus mengembangkan kempen beli produk makanan tempatan, dan pada masa yang sama, membantu mengurangkan kos pengeluaran makanan tempatan. Namun, Pasukan Jihad Inflasi lesu hingga kini.

Pada bulan Julai, inflasi makanan Malaysia sudah naik ke paras paling tinggi dalam sejarah pada kadar 6.9%. Kejatuhan ringgit pasti akan menjadikan inflasi makanan lebih parah. Tengku Zafrul tidak boleh hanya menyalahkan perubahan kadar faedah AS sebagai faktor merudumnya nilai ringgit. Justeru, kerajaan digesa bertindak segera menangani kesan kejatuhan ringgit bagi membela nasib rakyat yang terkesan teruk akibat kemerosotan ekonomi negara sekarang.

FAIZ FADZIL, Pengerusi Biro Pengguna, Parti Amanah Negara

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )