KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Perluaskan Bantuan Tunai, M40 Juga Perlukan Pembelaan

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Perluaskan Bantuan Tunai, M40 Juga Perlukan Pembelaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pengakuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa inflasi di Malaysia sepatutnya telah mencapai 11.4% pada Mei 2022 tanpa subsidi adalah sangat membimbangkan, walaupun ia bukanlah mengejutkan.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kerajaan BN-BERSATU-PAS telah memansuhkan subsidi atas beberapa makanan asas, dan sedang mengkaji untuk merombak subsidi RON95 dan diesel.

Apakah nasib rakyat jika lebih banyak subsidi dibuang dan pada masa yang sama GST pula diperkenalkan? Sebagai ganti, PM Ismail Sabri hanya umumkan bantuan tunai RM50/RM100 kepada rakyat miskin.

Bayangkan, isi rumah yang mempunyai pendapatan RM2,501 dan tiga orang anak hanya akan diberikan bantuan tambahan RM100 berserta BKM RM100 lagi pada bulan Jun. Adakah ini mencukupi?

Bagaimana pula golongan M40 yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur (KL) yang berpendapatan RM5,001 dan mempunyai 3 orang anak? Mengikut logik kerajaan, isi rumah M40 ini tidak layak untuk menerima bantuan tunai.

Apakah golongan M40 seperti ini harus dianak-tirikan? Mungkin bagi seorang PM yang memakai baju berharga RM7,000, pastinya tidak memahami kesusahan rakyat miskin mahupun berpendapatan sederhana.

Sementara itu, data Jabatan Perangkaan menunjukkan bakul barangan dan perkhidmatan yang bernilai RM500 pada Oktober 2018 (bawah kerajaan Pakatan Harapan) telah meningkat harganya kepada RM524.44 setakat Mei 2022.

Andai kata cukai GST tidak dimansuhkan oleh PH, kos bakul ini pasti lebih mahal. Sebab itu, pemansuhan GST oleh PH adalah dasar yang tepat.

Justeru, pengurusan fiskal negara yang lebih efisien tanpa ketirisan, termasuk memastikan subsidi sampai ke golongan yang benar-benar memerlukan adalah satu langkah penting. Namun, usaha berkenaan sama sekali tidak boleh merampas hak golongan golongan yang memerlukan.

Oleh itu, kerajaan digesa agar bantuan tunai yang menggantikan subsidi ditambah dan kerajaan harus mengkaji pengenalan sistem “digital food voucher” menerusi penggunaan kad pengenalan yang harus diperluas kepada isi rumah M40 bawahan atau “lower M40”. Apatah lagi, dianggarkan lebih 600,000 orang golongan M40 telah tergelincir ke dalam golongan B40 sekarang.

Di samping itu, bantuan yang diberikan harus mengambil kira saiz tanggungan dan kawasan yang didiami supaya lebih ramai rakyat dibantu berhadapan kos sara hidup yang menggila ini.

Adalah tidak logik jika isi rumah di Kampung Baru, KL menerima bantuan RM100 sama seperti isi rumah di Marang, Terengganu. Ini adalah kerana impak inflasi berbeza mengikut lokaliti. Kerajaan harus bertindak segera mengatasi masalah kos sara hidup ini yang merupakan sesuatu yang ‘real’.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )