KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Membasmi Kemiskinan Dan Meningkatkan Perkhidmatan Kesihatan Teras Pembangunan Sosial Penduduk Tampin

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Membasmi Kemiskinan Dan Meningkatkan Perkhidmatan Kesihatan Teras Pembangunan Sosial Penduduk Tampin

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kemiskinan rakyat dalam negara hari ini semakin meruncing akibat dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi dan kuasa beli yang kecil. Inflasi makanan melonjak teruk ke paras 7.2% yang menyebabkan inflasi negara sekarang mencecah kadar 4.7%.

Kesannya jumlah rakyat yang tergolong dalam kumpulan B40 bertambah dengan jumlah lebih 600,000 kumpulan M40 tergelincir kepada kumpulan B40.

Tampin juga berhadapan masalah kemiskinan yang meruncing. Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, separuh (50%) isi rumah Tampin berpendapatan bawah RM4,325.

Malah, pendapatan penengah isi rumah di Tampin sebenarnya lebih rendah pendapatan penengah di dalam Negeri Sembilan. Pendapatan yang rendah ini tidak mampu menampung harga barang yang mahal dan ini menekan hidup rakyat termasuk di Tampin.

Oleh itu, jika saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tampin, saya akan berjuang untuk memastikan wujudnya kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain swasta bagi meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akhirnya dapat membasmi kemiskinan. Pertanian berasaskan tanaman dan penternakan perlu diberikan perhatian untuk tujuan ini.

Saya juga akan berjuang untuk mendesak kerajaan meningkatkan bantuan modal dan bimbingan bagi membantu golongan rentan dan berpendapatan rendah untuk terlibat dalam perniagaan bagi meningkatkan pendapatan mereka. Usahawan PKS pula harus dibantu untuk mengembangkan operasi untuk lebih berdaya saing.

Di samping itu, khidmat kesihatan kepada rakyat dalam negara ini di tahap yang rendah. Oleh kerana itulah kerajaan perlu berbelanja lebih bagi meningkatkan sistem kesihatan yang lebih berkesan kepada rakyat. Kesihatan adalah inti pati utama kehidupan dan kerajaan tidak boleh hanya melihat kepada pembangunan material sahaja. Tanpa rakyat yang sihat, pembangunan modal insan akan terbantut dan ini akan merencatkan kemajuan negara.

Justeru, saya akan berjuang agar rakyat Tampin mendapat khidmat kesihatan yang lebih baik dengan mewujudkan khidmat pakar di Hospital Tampin. Pada ketika ini, penduduk Tampin yang memerlukan rawatan pakar perlu bergegas ke hospital yang lain sama ada Hospital Kuala Pilah atau Seremban yang perjalanannya mengambil masa 40 minit sehingga 1 jam yang boleh menyebabkan pelbagai risiko kepada pesakit.

Selain itu juga, Klinik Kesihatan Gemencheh dan juga di kawasan Gemas yang sudah usang perlu dinaik taraf supaya penduduk Tampin mendapat khidmat kesihatan yang lebih baik dan berkesan.

Calon Pakatan Harapan P.133 Tampin: FAIZ FADZIL

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )