KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Infrastruktur Awam, Projek Tebatan Banjir, Perumahan Mampu Milik Dan Pemulihan FELDA Akan Diberi Perhatian Di Tampin

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Infrastruktur Awam, Projek Tebatan Banjir, Perumahan Mampu Milik Dan Pemulihan FELDA Akan Diberi Perhatian Di Tampin

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tampin secara demografinya merupakan salah satu kawasan luar bandar di Malaysia.

Namun, pembangunan yang tidak seimbang antara bandar dan luar bandar selama ini telah meletakkan Tampin ketinggalan dari sudut pembangunan terutama infrastruktur awam. Sebagai contoh, jalan raya utama dari Gemas ke Tampin masih satu jalan (lane) walaupun ia dilalui oleh banyak kenderaan termasuk kenderaan berat.

Ini telah menyebabkan ketidakkselesaan kepada penduduk Tampin, malah risiko kemalangan juga tinggi di daerah ini. Walaupun Tampin dipilih sebagai bandar paling bahagia dalam negara, namun keadaan jalan raya utama amat merbahaya dan berisiko kepada keselamatan penduduk. Di samping itu juga, jalan-jalan di kawasan kampung yang sempit dan kekurangan lampu jalan juga adalah isu perlu diatasi.

Saban tahun, Parlimen Tampin terkesan akibat banjir terutama di kawasan Gemas. Oleh kerana itu, Tampin memerlukan usaha yang berterusan termasuk dari aspek sistem amaran awal, pencegahan banjir dan paling penting projek tebatan banjir perlu dijalankan segera supaya perubahan iklim yang sedang melanda dunia hari ini tidak menyebabkan banjir teruk kepada penduduk Tampin.

Kerajaan sepatutnya mengenal pasti zon-zon merah yang lebih berisiko untuk banjir dan seterusnya memberi tumpuan atas kawasan-kawasan ini dari aspek peruntukan dana dan persiapan awal. Saya juga akan mencadangkan di Parlimen untuk kerajaan memperkenalkan “insurans banjir” untuk rumah-rumah di zon cenderung banjir dalam Tampin.

Rata-rata rakyat terkesan dengan kekurangan peluang memiliki rumah sendiri. Bagi mengatasi masalah ini, GLC dan pemaju swasta harus memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik. Pemilikan rumah sendiri dengan harga yang lebih murah akan membantu penduduk Tampin meningkatkan sosio-ekonomi dengan setiap penduduk mampu memiliki rumah sendiri.

Walaupun sudah ada projek rumah mampu milik pada 2022 yang dibina di Tampin, ia perlu diperluaskan ke tempat-tempat lain. Kenaikan harga rumah akibat kenaikan kos bahan material akan menyusahkan lagi kemampuan rakyat terutama golongan muda untuk membeli rumah. Justeru, agenda rumah mampu milik perlu diperluaskan di Tampin.

Parlimen Tampin adalah antara kawasan yang mempunyai penempatan FELDA yang paling banyak di Malaysia termasuk FELDA Jelai, FELDA Pasir Besar, FELDA Sg Kelamah, FELDA Bukit Rokan dan FELDA Bukit Jalor. Sungguhpun begitu, sepanjang menjadi kerajaan persekutuan 22 bulan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah banyak memainkan peranan untuk mengukuhkan FELDA.

Untuk memulihkan FELDA daripada kesan penyelewengan dan pengurusan lemah zaman Barisan Nasional, kerajaan PH telah membentangkan Kertas Putih di Parlimen, menyuntik RM6 bilion ke dalam FELDA dan melancarkan Program Pembangunan Peneroka untuk mengukuhkan sosioekonomi peneroka Bumiputera.

Para peneroka kini terjejas akibat isu pengurusan ladang, ketidakcukupan bekalan baja, soal hutang, soal harga getah dan sawit, selain isu harga barang yang mahal. Projek perumahan generasi kedua yang telah lama terbengkalai akan diperjuangkan untuk disiapkan bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak FELDA.

Sungguhpun begitu, syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan kerana telah memulakan inisiatif pemberian tanah rumah seluas 4,000 kaki satu lot kepada generasi kedua FELDA.

Bagi memastikan kelestarian pembangunan dalam negara, kawasan luar bandar perlu diberikan perhatian khusus untuk dibangunkan terutama dari sudut kemudahan infrastruktur awam. Untuk tahun 2020 dan 2021 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM6.3 bilion dan RM6.7 bilion.

Peruntukan ini sebenarnya tidak cukup dan kerajaan seharusnya berbelanja lebih dan saya mencadangkan sejumlah RM8 bilion dapat diperuntukkan untuk memastikan luar bandar dibangunkan secara adil. Inilah agenda keadilan sosial yang saya perjuangkan.

Jika saya diberi mandat dipilih sebagai Ahli Parlimen Tampin untuk 5 tahun akan datang, saya akan berjuang untuk mengangkat isu-isu pembangunan luar bandar ini terutama di Parlimen Tampin.

Calon Pakatan Harapan P.133 Tampin: FAIZ FADZIL

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )