KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Cadangan Gst- Mimpi Ngeri Buat Rakyat

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Cadangan Gst- Mimpi Ngeri Buat Rakyat

Dalam keadaan ekonomi masih terumbang-ambing, saya kecewa dan terkejut Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mula mempertimbangkan untuk mengembalikan cukai GST.

GST jika dilaksanakan semula walaupun selepas ekonomi pulih tahun hadapan, akan terus menekan kuasa beli rakyat yang telah terjejas teruk sejak awal tahun ini. Cadangan ini umpama satu mimpi ngeri buat rakyat Malaysia yang telah menolak pelaksanaan GST dengan jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) PRU-14 yang lalu.

GST dikenakan ke atas majoriti barangan dan perkhidmatan di pasaran dan sebelum ini, cukai regresif itu telah dikenakan ke atas lebih 60% barangan dalam bakul Indeks Harga Pengguna, berbanding hanya 30% di bawah SST.

Sebelum tahun 2018, kerajaan BN telah mengenakan GST ke atas pelbagai barang keperluan asas termasuk sardin dan produk tenusu, bahkan pembelian bot oleh nelayan juga dikenakan GST. Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto dan memahami kelemahan GST, justeru memansuhkannya.

Saya menggesa kerajaan PN melupakan hasrat mengkaji semula pelaksanaan GST ini. Biarlah rakyat kembali stabil dari aspek kos sara hidup dan mengukuhkan kembali simpanan mereka untuk beberapa tahun akan datang. Jangan pula tangan kanan memberi Bantuan Prihatin Rakyat, tapi tangan kiri merampas kembali wang tersebut dalam bentuk GST. Ada banyak cara lain selain GST untuk mengukuhkan aliran tunai negara. Antaranya pengenalan cukai Capital Gains Tax (CGT) atau cukai keuntungan modal.

Pada ketika ini, keuntungan modal tidak dikenakan cukai kecuali atas penjualan hartanah ataupun Real Property Gains Tax. Keuntungan berjuta-juta ringgit yang dijana di pasaran saham, misalnya, tidak dikenakan sebarang cukai kecuali atas dividen yang diterima.

CGT boleh dilaksanakan secara tingkat (tier) atas transaksi saham di pasaran modal Malaysia. Misalnya, kadar CGT bagi keuntungan melebihi RM100,000 daripada penjualan saham dikenakan lebih tinggi berbanding kadar cukai untuk keuntungan di antara RM50,000 dan RM100,000.

Pada masa yang sama, cukai CGT atas keuntungan di bawah RM50,000 boleh dikecualikan supaya ia dapat menggalakkan lebih ramai pelabur runcit baharu berjinak dalam dunia pelaburan. Konsep ini boleh juga digunakan atas aset-aset lain seperti barang kemas, pelaburan unit trust, bon atau sukuk, barang antik bernilai tinggi dan sebagainya yang tidak membebankan rakyat terbanyak yang cukup terkesan dengan pandemik Covid-19.

Cukai CGT secara peringkat dan juga berdasarkan tempoh pegangan aset akan memastikan hanya individu yang menjana keuntungan atas modal yang tinggi melebihi paras tertentu dikenakan cukai. Ini seterusnya dapat menjaga kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pendek kata, cukai ini hanya dikenakan kepada golongan kaya.

Malaysia memerlukan cukai yang progresif seperti cukai CGT secara peringkat dan bukannya GST yang pukul rata semua golongan masyarakat. Kerajaan PN tidak seharusnya mengambil jalan mudah meningkatkan hasil negara menerusi GST tetapi pada masa yang sama, tidak mengendahkan kesannya kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana.

Kerajaan PN tidak seharusnya lebih mementingkan hasil kutipan cukai berbanding kesannya kepada kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan B40.

FAIZ FADZIL

25 November 2020

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )