KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Belanjawan BN PN Gagal Pulihkan Ekonomi, Rakyat Perlu Keluar Mengundi Jatuhkan Kerajaan Pintu Belakang

KOLUMNIS FAIZ FADZIL: Belanjawan BN PN Gagal Pulihkan Ekonomi, Rakyat Perlu Keluar Mengundi Jatuhkan Kerajaan Pintu Belakang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Belanjawan BN PN 2023 yang dibentang oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah belanjawan paling gagal dalam sejarah Malaysia. Ini adalah kerana beliau telah umumkan perbelanjaan paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM372.3 bilion meningkat RM40.2 bilion berbanding tahun 2022, walaupun hasil kerajaan diunjurkan jatuh tahun hadapan. Persoalannya, dari manakah sumber hasil kerajaan, pinjaman luar negara atau GST?

Belanjawan ini walaupun dilihat sebagai gula-gula PRU, namun tidak menyelesaikan masalah ekonomi negara dan seterusnya gagal memulihkan masalah perut rakyat. Walaupun Belanjawan ini suatu yang sia-sia kerana Parlimen telah dibubarkan, namun ia menunjukkan ketidakkompentennya BN PN untuk mentadbir negara sekalipun selepas PRU ke-15.

Alasan saya menyatakan pendirian ini adalah kerana dalam Belanjawan ini, sejumlah RM95 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan. Walaupun begitu, tidak ada satu pun projek mega baharu diumumkan. Maka, tiada projek yang mempunyai kesan pengganda (multiplier effect) ekonomi yang tinggi yang mampu merangsang ekonomi di bawah terutama perusahaan kecil dan sederhana (IKS). Yang ada hanyalah projek lanjutan sahaja.

Belanjawan ini juga tiada usaha konkrit untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup, khususnya berkaitan inflasi makanan. Bukan sahaja subsidi telah dipotong lebih RM22 bilion, peruntukan bantuan BKM kepada keluarga miskin juga dikurangkan kepada RM7.8 bilion daripada RM8.2 bilion. Bilangan penerima untuk tahun 2023 juga berkurang kepada 8.7 juta individu. Oleh kerana dianggarkan lebih 600,000 isi rumah M40 telah tergelincir ke dalam golongan B40, maka penurunan ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat yang akan sengara pada tahun hadapan.

Kerajaan BN PN juga gagal memperkenalkan reformasi struktur, terutamanya mengurangkan harga barang, seperti makanan. Dalam Belanjawan ini, langsung tidak disentuh mengenai kemerosotan ringgit dan impak terhadap inflasi, serta usaha mengurangkan impak ini. Mengapa tidak ada peruntukan untuk reformasi operasi pasaran bagi mengawal harga makanan? Keadaan ini akan lebih meruncing apabila GST dilaksanakan semula.

Di samping itu, sektor pertanian dan agromakanan juga tidak menerima perhatian yang secukupnya dalam Belanjawan ini. Peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hanya dinaikkan 0.12% ke RM1.54 bilion. Apakah reformasi pertanian yang boleh dilakukan jika tiada perbelanjaan yang secukupnya? Hasilnya, sektor pertanian akan kekal di takuk lama dan poket penduduk luar bandar tidak mampu dikembangkan.

BN tidak mampu untuk membentuk kerajaan bersendirian, maka kerjasama politik bersama PAS dan PPBM (PN) akan diteruskan selepas PRU yang dijangka diadakan dalam bulan November ini. Keadaan ini akan mengulangi ketidakstabilan politik sekarang dan ia tidak mampu menarik keyakinan pelaburan asing yang pasti merencatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Apatah lagi, mereka berhasrat untuk membebaskan pemimpin mereka yang terpalit dengan kes rasuah yang pasti memberikan imej yang lebih negatif kepada negara.

Hanya Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan kestabilan politik, wajar diberikan peluang sekali lagi untuk menerajui Putrajaya. Kerakusan pemimpin UMNO untuk mengadakan pilihan raya walaupun rakyat terpaksa bergelut dengan banjir menunjukkan sikap sebenar mereka yang lebih pentingkan kuasa berbanding rakyat. Justeru, masanya telah tiba untuk rakyat keluar mengundi beramai-ramai memastikan kerajaan pintu belakang BN PN tewas dalam pilihan raya.

Kerajaan baharu perlu diangkat rakyat untuk memastikan Belanjawan baharu 2023 selepas PRU ke-15 adalah sejajar kehendak pasaran dan keadaan fiskal negara dan menyelesaikan isu-isu perut rakyat termasuk inflasi, harga barang makanan, gaji rakyat yang rendah, usaha merangsang sektor perniagaan serta keseriusan melawan rasuah supaya strategi pemulihan ekonomi yang tuntas benar-benar dilaksanakan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )