KOLUMNIS DR MUJAHID: Politik dan Pandemik

KOLUMNIS DR MUJAHID: Politik dan Pandemik

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera..

Politik dan Pandemik sukar dibuat pemisahan jelas antara keduanya walaupun wujud garis pemisah yang samar-samar.

Kesamaran ini tanpa kejelasan antara hubungan keduanya boleh menjebakkan kita ke dalam kancah ‘mempolitikkan pandemik’ di mana tindakan sebegini akan memburukkan keadaan negara yang sedang mengalami krisis kesihatan awam Covid 19.

Namun apa yang perlu dikenalpasti dalam garisan nipis pemisahan antara Politik dan Pandemik ialah dengan memahami perkara-perkara prinsip dalam kerangka sebuah  pemerintahan dan demokrasi yang secara langsung atau tidak akan memberi kesan kepada cara sebuah kerajaan menangani sesuatu  krisis pandemik.

Kejelasan memahami akan elak kita daripada terjerumus dalam mempolitikkan pandemik di mana pada dasarnya adalah satu bentuk eksploitasi yang perlu ditolak oleh semua pihak.

Dengan kata lain tajuk artikel ini pada awal-awal lagi menolak pemikiran ‘pandemik yang dipolitikkan’ tetapi cuba membawa pemikiran untuk menjelaskan prinsip pemerintahan dan demokrasi yang terkait dengan cara kerajaan mengurus krisis pandemik dengan cara lebih efektif.

Prinsip demokrasi yang dimaksudkan ialah pembentukan sebuah kerajaan yang perlu mendapat MANDAT RAKYAT. Ini sangat penting kerana mandat rakyat itu sendiri adalah satu sokongan kepercayaan bagi sebuah kerajaan yang berfungsi. Akibat mengabaikan prinsip mandat rakyat, situasi hubungan pemerintah dan rakyat akan terjejas di mana ‘defisit kepercayaan’ tidak dapat dielakkan lagi.

Apabila kepercayaan sudah tiada, sukar untuk kerajaan mengatasi krisis kerana segala perutusan dan pengarahannya tidak lagi berwibawa di mata rakyat untuk dipatuhi. Dengan kata lain pihak eksekutif (para kabinet) sebagai salah satu dari tiga cabang pemerintahan telah hilang simbol kepercayaan rakyat kepadanya sekaligus segala perutusan diremeh dan diperlekehkan.

Kerajaan ini berpotensi menjadi sebuah kerajaan mandul yang tiada keupayaan menangani krisis yang berlaku (dysfunctional government).

Kedua, ialah cabang pemerintahan dari legaslatif yang tidak mempunyai majoriti yang kukuh akan menyebabkan ia menjadi kerajaan demokratik secara majoriti rapuh dan terumbang-ambing.

Bila ini berlaku tekanan untuk mengekalkan majoriti mendorong parti pemerintah mengamalkan ‘horse trading’ membeli dan menawarkan wakil-wakil rakyat jawatan, lantas menjadikan yb-yb sebagai barangan komoditi yang didagangkan.

Solidariti dewan rakyat tidak terbentuk untuk fokus menangani pandemik tetapi menjadi medan mengukuhkan kedudukan masing-masing dengan habuan-habuan yang ditawarkan! Ahli Parlimen sewajarnya berfungsi tanpa syarat kerana ia diwakilkan oleh rakyat untuk menjaga kepentingan negara bukan dirinya!

Prinsip demokrasi pemerintahan yang bertujuan membentuk kerajaan yang stabil, kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat adalah ramuan asas kepada kejayaan menguruskan krisis pandemik yang dilalui.

Motivasi rakyat, pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat kepada ‘government of the day’ sangat memerlukan kewajaran ini untuk membentuk kesepaduan menangani krisis.

Membicarakan prinsip demokrasi pemerintahan ini bukan mempolitikkan pandemik tetapi ia mengukuhkan keberkesanan menangani pandemik sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar berfungsi.

Simptom atau tanda-tanda kerajaan menjadi ‘mandul’ menangani krisis ialah apabila anggota kabinet sendiri tidak sensitif kepada peraturan-peraturan yang dibuatnya. Dalam suasana krisis pandemik, perlaksanaan piawaian peraturan atau SOP adalah segala-segalanya kerana itulah sahaja benteng yang ada antara kita dan potensi sebaran penyakit.

Keupayaan kita mendatarkan keluk sebaran dari meningkat hanyalah dengan menyekat melalui pematuhan SOP. Pelanggaran demi pelanggaran pihak eksekutif tanpa pematuhan adalah tanda sebuah kerajaan yang lemah.

Rakyat mengulas hal ini dengan caranya tersendiri adalah sebenarnya merujuk kepada tanda kepada sebuah kemandulan dari cabang penting pemerintahan ie. eksekutif!

Lebih memburukkan keadaan ialah apabila terbentuk persepsi bahawa perlaksanaan undang-undang dan penguatkuasaannya bersikap memilih bulu atau double standard!  Sehingga timbul persepsi ‘menteri langgar terlepas, rakyat marhaen langgar diberkas!

Sikap elitis pemerintah melalui tindak-tanduk mereka tidak membantu untuk selesaikan krisis, apatah lagi kebongkakkan pak menteri dan penyokongnya membuat alasan-alasan bodoh atas pelanggaran SOP.

Politik dalam kerangka prinsip demokrasi sebuah pemerintahan ada kaitan dengan cara dan gaya kerajaan menangani pandemik dan ia juga terkait rapat dengan motivasi rakyat untuk bersepadu dan mendokong segala keputusan melalui parlimen yang kukuh dan fokus kepada penyelesaian.

Berpandukan kepada asas-asas penulisan di atas, jangan kita menolak apa sahaja yang namanya ‘politik’ dalam suasana pandemik hari ini kerana dengan berbuat demikian kita menutup ruang untuk pihak tertentu menangani pandemik dengan lebih efektif.

Kita menolak dipolitikkan tetapi jangan menolak peluang untuk menangani krisis dengan lebih berkesan melalui proses politik!

Sebab itu apabila ditanya kepada saya, wajarkah DSAI buat kenyataan pada 22hb Sept bahawa beliau ada majoriti kukuh, meyakinkan dan selesa…,  sedangkan negara sedang melalui krisis pandemik?

Saya menegaskan dengan jawapan ringkas…Ya! apa salahnya dalam kerangka prinsip demokrasi berparlimen untuk lebih berkesan menangani pandemik covid yang gagal ditangani oleh kerajaan PN hari ini!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )