KOLUMNIS DR.MUJAHID: Ku Li & Anwar bakal runtuhkan kerajaan PN (Siri 2)

KOLUMNIS DR.MUJAHID: Ku Li & Anwar bakal runtuhkan kerajaan PN (Siri 2)

Sambunagn dari Siri 1.

Sementara itu, hubungan tegang UMNO dan Bersatu menekan kerajaan PN ke arah kejatuhannya. Orang bertanya kepada saya bolehkah PN jatuh? Saya menjawab bukan soalan samada PN boleh jatuh atau tidak, tetapi ia lebih kepada soalan bila PN akan jatuh?

Ketika Istana menutup pintunya selama 2 minggu, mata rakyat kini tertumpu kepada arena baru iaitu gelanggang Parlimen. Jangan lupa bahawa YDPA melantik PM di atas kuasanya yang pada pandangan Baginda meyakini calon tersebut ada majoriti, tetapi soal samada benar atau tidak seorang PM ada majoriti atau tidak hanya akan diuji kesahihannya di kalangan 222 MP di parlimen.

Inilah satu hakikat yang TSMY gagal lunaskan sejak 1 March yang lalu apabila beliau angkat sumpah sebagai PM ke 8. Dengan kata lain samada dalam Istana atau Parlimen kedua-dua gelanggang ini boleh menentukan keabsahan seseorang PM dan kerajaannya apabila dipertikaikan.

Kerajaan PN sudah pun runtuh secara moralnya dengan sidang media DSAI 23hb Sept dan dengan ‘surat berbisa’ Ku Li pada 25hb Sept. Pasca 13 Okt adalah proses keabsahan yang pada hemat saya dengan faktor Ku Li muncul, dijangkakan institusi parlimen dijadikan sebagai medium kata pemutus krisis kepimpinan negara hari ini.

Jika andaian ini benar,  proses verifikasi dakwaan DSAI itu akan berlaku mengikut proses di parlimen dan bukan di istana bermula pada 2hb November ini. Jikalau proses Usul Tidak Percaya berjaya dibawa sebelum Bajet 6hb November, ini bermakna Bajet 2021 akan dibentang oleh kerajaan baharu.

Masa 2 minggu ini akan menyaksikan tekanan demi tekanan ke atas TSMY dan kerajaannya supaya berundurlah secara terhormat. Pada18hb Okt pula iaitu hari Sabtu, katanya keputusan penting mesyuarat MT UMNO akan dibuat untuk memutuskan nasib hubungan UMNO dan PN.

Sebaik saja pengumuman pada petang 18 Oktober, satu lanskap baru dijangka akan terbentuk, ia akan menentukan halatuju kepimpinan negara. Jika penarikan diri 39 MP UMNO dari menyokong TSMY benar-benar berlaku , maka secara fizikalnya kerajaan PN akan runtuh pada Sabtu petang ini.

Walaupun demikian, saya ingin ingatkan pendokong PH khususnya dan rakyat Malaysia amnya supaya kita jangan cepat membuat rumusan secara final lagi, kerana episod PN jatuh hanyalah permulaan kepada keabsahan langkah DSAI, soalnya apakah kejatuhan ini akan berpihak kepada natijah akhir yang mendambakan kerajaan yang kuat dan kukuh majoritinya untuk berhadapan dengan krisis covid?

Atau, akan sampaikah kita ke destinasi akhir iaitu terbentuknya kerajaan rakyat yang berintegriti dan berpegang teguh pada prinsip perundangan? Natijah di hujung semua senario ini penting kerana segala proses pasca 13 Oktober akan jadi berbaloi jika tercapai objektif ke arah kerajaan yang kuat dan stabil sejak kita memulakan jalan kembali menamatkan kerajaan tebuk atap.

Seminggu dua ini diharapkan bunga-bunga jawapan akan berputik sementara kita akan menyaksikan pada waktu yang sama kejatuhan PN sebagai kerajaan paling singkat yang pernah memerintah dalam sejarah negara!

 

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

Naib Presiden AMANAH

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )