KOLUMNIS DR.MUJAHID: Ku Li & Anwar bakal runtuhkan kerajaan PN (Siri 1)

KOLUMNIS DR.MUJAHID: Ku Li & Anwar bakal runtuhkan kerajaan PN (Siri 1)

Assalamualaikum wrt wbt, dan salam sejahtera.

Sementara Istana menitahkan tiada pertemuan sehingga tamat PKPB 27hb Okt, bahang politik di luar tidak memperlihatkan suhu menurun. Sosok Ku Li mendapat perhatian media lebih kurang sama seperti DSAI pada 13 Okt lalu dengan semua orang tertanya-tanya , ‘kenapa Ku Li setelah DSAI?’

Spekulasi bahawa kemungkinan Ku Li mewakili sokongan MP UMNO yang menyokong DSAI menguasai medan perbualan rakyat pada 13 Okt tetapi Ku Li dengan pantas menepisnya dengan menyatakan kehadiran beliau selepas DSAI mengadap YDPA ialah sebagai sesi biasa.

Esoknya 14hb Okt, terdedahlah surat Ku Li bertarikh 25hb Sept yang ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menuntut supaya usul Undi Tidak Percaya sebelum ini kepada kerajaan TSMY selaku PM perlu didahulukan dan dibahaskan.

Surat panjang lebar itu juga menetapkan isu keperlembagaan seharusnya menjadi panduan kepada Speaker yang tugasnya adalah memelihara keluhuran undang-undang dalam Aturcara dan Peraturan Parlimen yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan Persekutuan.

Berserta surat tersebut ialah satu kejutan besar yang dilontarkan umpama bom jangka kepada kerajaan PN tentang kekhuatiran MP Gua Musang itu terhadap kebebasan parlimen yang menurutnya telah dikompromi melalui sogokan jawatan berpendapatan di kalangan MP.

Keadaan ini tegas beliau boleh menjejas tujuan pengundian yang cenderong kepada menyokong kerajaan kerana penyogokan tadi. Speaker juga seolah diberi ‘warning’ bahawa penulis surat akan meneliti samada Speaker Dewan sendiri telah cuai dalam menjalankan tugasnya memelihara peruntukan perlembagaan dalam Perkara 62 dan 43 Perlembagaan Persekutuan ketika menolak usul tidak percaya ini yang pernah dibawa 2 kali.

Saya berpendapat, jikalaulah Ku Li layak mendapat perhatian, maka ia adalah kerana surat ini dan isinya yang sangat menyengat! Surat ini memungkinkan kita menoleh kepada medan baru polemik pasca 13 Oktober dengan timbulnya berbagai persoalan menarik yang mendesak.

Apa kaitannya dengan dakwaan majoriti DSAI? Apakah tarikh 25 Sept surat Ku Li dan pengumuman pertama DSAI pada 23hb Sept disusun secara sedar? Kenapa isu sogokan atas alasan menjejaskan kewibawaan parlimen dan kebebasannya dibangkitkan? Kenapa keras amaran Ku Li kepada Speaker kerana gagal mengutamakan Usul Tidak Percaya ini? Apakah ia ‘Langkah Ku Li’ vs ‘Langkah DSAI?’ ataukah gabungan dan sinergi Ku Li & DSAI untuk jatuhkan kerajaan ‘penyogokan’ TSMY?

Saya memilih untuk melihat persoalan di atas secara zahir dalam memahami faktor Ku Li dalam sifir ini. Ini adalah kerana saya yakin beliau sebagai MP paling senior yang lahir di kalangan keluarga Istana, senantiasa dibimbing oleh tanggungjawab dan amanah beliau sebagai pelindung perlembagaan dan pemelihara undang-undang. Ku Li bertindak demikian supaya;

  1. Untuk melunaskan tanggung jawabnya terhadap kenyataan awal DSAI yang mendakwa ada majoriti. Dakwaan ini sangat serius kepada sistem berparlimen kerana DSAI mengisyaratkan TSMY sudah tidak lagi menjadi PM (berpandukan kepada Perkara 43, yang dibangkitkan oleh Ku Li). Ini dikuatkan lagi bahawa usul Tidak Percaya pernah dibawa sebelum ini oleh Langkawi yang menerima layanan hambar Speaker.
  2. Mengingatkan TSMY bahawa beliau perlu membuktikan sebaliknya jika beliau mahu meneruskan memimpin pentadbiran negara kerana dakwaan DSAI menjadikan TSMY sudah tidak ada kuasa lagi untuk mentadbir negara dan justeru itu hanya Usul Undi Tidak Percaya yang akan dapat mengesahkan kebenaran dakwaan DSAI atau sebaliknya.
  3. Menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan PN sudah hilang tapak moralnya dan telah menodai kebebasan institusi parlimen dengan ‘penyogokan’ jawatan berpendapatan di kalangan MP sekaligus menjejaskan tujuan undian yang bebas di parlimen (48 (1l (c)) Amaran keras kepada Speaker pula bertujuan supaya Speaker meletakkan kesedaran dhamirnya bahawa setiap urusan kerajaan melalui kelulusan parlimen menjadi tidak relevan selagi keabsahan ketua eksekutif negara iaitu PM tidak ditentukan kedudukannya sedari awal.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )