KOLUMNIS DR. MUJAHID: Azeez Rahim Menyanggah Kenyataannya Sendiri Dalam Kes OPV

KOLUMNIS DR. MUJAHID: Azeez Rahim Menyanggah Kenyataannya Sendiri Dalam Kes OPV

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Bercakap tanpa fakta hanya memperlihatkan kelemahan diri apatah lagi apabila yang bercakap menyanggah katanya sendiri. Ia menggambarkan kecelaruan minda dan tidak konsisten untuk pertahankan hujah.

Dalam kenyataan YB Datuk Panglima Azeez Rahim Ahli Parlimen Baling, beliau jelas tidak ada asas mempertahan dirinya dan cuba alih pandangan kepada perkara yang tidak ada kaitan dengan isu yang saya bangkitkan. Sila rujuk pada kenyataan beliau.

YB Baling membangkitkan kononnya saya ini “begitu rakus dan kejam berkali-kali mengeluarkan kenyataan mengaitkan saya dengan perkataan-perkataan berbaur fitnah dan hasutan berkaitan Tabung Haji”.

Saya sentiasa objektif dalam isu LTH (Lembaga Tabung Haji) malah saya yang menjemput Azeez Rahim untuk berdebat dalam suasana lebih bertamadun dan telah berlangsung dengan jayanya anjuran Sinar pada 14 Ogos 2020, rakyat boleh menilai hujah kami masing-masing.

Saya ingin menegaskan dalam soal kontrak OPV bahawa semasa kontrak ini dianugerahkan kepada THHE sememangnya beliau ketika itu adalah Pengerusi Tabung Haji di mana sebagaimana dipetik daripada The Edge pada May 30, 2018 bahawa beliau sebagai Pengerusi LTH ketika itu memainkan peranan utama untuk mendapatkan kontrak tersebut (played a main role to secure the contract). Kontrak tersebut dianugerahkan secara rundingan terus. Sila rujuk artikel.

https://www.theedgemarkets.com/article/whats-next-thhe

Kononnya beliau tidak campur tangan urusan THHE sebab menurut beliau “Syarikat ini tersenarai di dalam Bursa Saham Malaysia dan mempunyai corporate governance tersendiri. Ianya hanyalah associate company kepada Lembaga Tabung Haji yang pada ketika itu memiliki pegangan saham berjumlah 29.8% di dalam THHE”.

Walaupun LTH hanya memiliki 29.8% kepentingan, namun pada tahun 2015 THHE telah menerbitkan saham di mana LTH telah melanggan saham ICPS (Islamic Iredeemable, Convertable Preference Shares). Saya petik daripada artikel “In 2015, the pilgrim fund was the sole subscriber for THHE’s cash call of Islamic irredeemable convertible preference shares (ICPS)…Tabung Haji subscribed for 99.75% of the 1.1 billion ICPS offered and raised RM275 million for THHE. This means that the former will control 64.57% of the latter if the preference shares are converted.”

Ini menggambarkan betapa LTH yang dipengerusikan oleh beliau ketika itu mempunyai kepentingan besar dalam THHE jika ditukar kepada nilai saham, LTH ada kepentingan 64.57% dan bukan sekadar “associate company”. Apakah YB Azeez mengalami masalah ‘dementia’ iaitu penyakit lemah daya ingatan membawa kepada kekeliruan ataukah ianya bersifat dementia selektif? Ataukah dia tidak tahu menahu apa yang berlaku?

Beliau turut mendakwa bahawa “Segala urusan berkaitan penganugerahan kontrak OPV ini adalah di dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan melalui correspondent dan dokumentasi dengan pihak THHE DESTINI SDN BHD dan syarikat berkaitan lainnya yang mana saya tidak mempunyai sebarang locus standi dan kuasa mencampuri sebarang urusan tersebut”. Hakikatnya ialah LOI dikeluarkan kepada THHE pada 27 Julai 2016 kemudian pada 27 Okt 2016 THHE melalui THHE Fabricators Sdn Bhd telah membuat JV dengan Destiny Ship Building. Persetujuannya ialah THHE 49% : Destiny 51%.

THHE sediakan Fabrication dan Yard manakala Destiny  di bahagian Shipbuilding. Maka pada 18/1/2017 LOA dikeluarkan. Kenyataan bahawa LTH adalah pihak berkepentingan dalam projek ini melalui THHE tidak dapat dinafikan. Apa yang berlaku dengan penubuhan THHE DESTINI BHD adalah sebagai syarat untuk mendapat kontrak yang THHE tiada kepakaran.

Tanpa usaha Pengerusi LTH masa itu yang mempunyai hubungan yang rapat dengan PM yang juga Menteri Kewangan, tidak mungkin akan mendapat kontrak secara direct nego, lagipun LTH sudah pun berada pada susut nilai asetnya berbanding tanggungannya ketika itu.

Ini sebahagian cara BN selamatkan LTH walaupun berisiko tinggi. Rujuk amaran Bank Negara

https://kerahlekung.blogspot.com/2018/12/rupanya-bank-negara-pernah-tegur.html

Poin seterusnya adalah paling lucu sekaligus memperlihatkan masalah ‘dementia selektif’ yang dihadapinya. Beliau mendakwa mengapa saya tidak bangkitkan isu OPV semasa saya Menteri Agama waktu PH memerintah. Tempahan dibuat rasmi pada 19 Jan 2017 dan kontraknya ialah THHE Destini perlu siapkan 3 biji kapal OPV berperingkat-peringkat sepanjang tahun 2020.

Kerajaan PH pada Februari 2020 digugat oleh Langkah Sheraton dan munculah Perikatan Nasional di mana YB Baling adalah sebahagian daripada kerajaan ini. Mengapa saya perlu bangkitkan soal kelewatan ketika itu sedangkan bulan Februari 2020 belum cukup matang lagi tempoh siap penghantaran satu kapal  OPV pun!

Apa hal saya menuntut mengapa lewat OPV sedangkan belum matang lagi tempoh penghantaran?? Apa hal saya perlu lapor kepada PAC? Tidak ada releven langsung hujahan ini!

Adapun pertikaiannya tentang kejayaan kami menyelamatkan LTH, adalah jelas YB Baling masih di alam sindrom penafian berterusan. Sama ada beliau terima atau tidak, semasa saya diberi amanah sebagai Menteri bertanggungjawab, dua kejayaan penting yang telah kami capai setelah kerosakan yang ditinggalkan sebelumnya  iaitu, mengimbangi semula antara aset dan liabiliti untuk pengeluaran hibah yang patuh undang-undang dan membuat nilai rosot mengikut piawaian MFRS bagi menggambarkan kedudukan kewangan sebenar LTH.

Laporan Audit 2020 untuk LTH membuktikan kejayaan penstrukturan semula yang kami usahakan. Sila rujuk

Kerajaan PH Selamatkan Tabung Haji – Ketua Audit Negara

 

THHE antara ‘saham sakit’ yang dipindahkan (saya harap YB Baling dapat beza antara dipindahkan dan dijualkan) ke SPV bawah MoF (Inc.). Tujuan penstrukturan semula TH ialah menyelamatkan LTH daripada beban hutang THHE sahaja yang bernilai hampir RM 600 juta, ini tidak termasuk aset sakit lain bernilai RM 9.7 bilion yang bakal menjejaskan 9 juta pendeposit umat Islam.

Walaupun demikian UJSB iaitu SPV yang diwujudkan meletakkan nilai pindahan THHE dll saham sakit pada harga premium.

http://www.tabunghaji.gov.my/ms/korporat/soalan-lazim/Pelan-Penstrukturan-dan-Pemulihan-TH

https://www.theedgemarkets.com/article/look-urusharta-jamaahs-financials

“UJSB paid RM380.3 million for the block of 334.16 million shares in THHE held by TH, compared with its market value of RM10.02 million then, and RM315.45 million for 1.1 billion preference shares that had a value of RM16.46 million…”

Sejak 2017 THHE berada dalam kategori PN 17 dan 5 September baru-baru ini THHE telah dinyah senaraikan kerana gagal menstrukturkan semula hutangnya. Ini memburukkan lagi proses menyiapkan 3 OPV yang sudahpun kelewatan 18 bulan. Nasib baik THHE  dipindahkan dalam Pelan Penstrukturan Semula, jika kekal dalam keadaannya sekarang para pendeposit akan turut terjejas.

Sila rujuk artikel terkini di mana LTH menafikan ada kaitan lagi dengan THHE dengan memberi alasan pemindahan ke UJSB atas alasan ‘underperforming assets’ (aset sakit)

https://www.theedgemarkets.com/node/635326

Saya meneliti kenyataan YB Azeez Rahim namun tidak ada apa hujahan menjawab soalan-soalan penting saya iaitu projek OPV adalah rundingan terus, beliau ketika itu memainkan peranan utama dan kegagalan menepati tempoh matang penghantaran lengkap adalah kerana masalah kewangan syarikat JV THHE Destini walaupun RM 500juta telah dibelanjakan.

Tiada respons daripada apa yang saya bangkitkan melainkan YB Baling mengalih pandangan kepada isu sensasi untuk membuat laporan polis dan ugut untuk menyaman saya. Sekian.

 

YB DS Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar, Naib Presiden Parti AMANAH & Pengerusi PH Perak

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )