Kita rayu kepada Tuanku Darurat tidak diteruskan

Kita rayu kepada Tuanku Darurat tidak diteruskan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau mengemukakan rayuan penamatan Proklamasi Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, usul berkenaan antara perkara yang dibawakan ketika lebih satu jam sembah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara semalam.

Beliau turut menzahirkan pandangan bahawa penerusan darurat akan menyebabkan kerugian kepada negara, tidak akan membantu menangani masalah Covid-19 dan akan menjejaskan ekonomi terutama kepada rakyat peringkat bawahan.

“Saya tengok semua langkah yang boleh dilakukan tidak memerlukan darurat. Jadi kita merayu kepada Tuanku supaya sedaya upaya menghalang penerusan (darurat) ini,” katanya kepada pemberita sejurus keluar dari pintu Istana Negara pada jam 11.55 pagi pada Rabu.

Ditanya adakah beliau turut membawa sebarang usul bagi menukar kerajaan, beliau bagaimanapun berkata, ia tidak berlaku.

“Itu (tukar kerajaan) adalah soal yang tidak berbangkit sekarang,” katanya.

Beliau menjelaskan, Seri Paduka Baginda begitu berlapang dada mendengar setiap penjelasan yang beliau bawa bersama beberapa laporan kajian.

Katanya, masyarakat harus tahu bahawa Al-Sultan Abdullah begitu arif mengenai perkembangan semasa yang turut diperoleh daripada pandangan pakar lain.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )