Khemah besar merugikan, dikhuatiri melencong

Khemah besar merugikan, dikhuatiri melencong

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menzahirkan pandangan, pendekatan khemah besar dengan mengadakan rundingan bersama parti politik lain sebagai strategi memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, dikhuatiri melencongkan fungsi utama penubuhan gagasan Pakatan Harapan (PH) dalam menyelesaikan masalah besar berkaitan rakyat.

Katanya, strategi sedemikian perlu ditinggalkan kerana ia menggambarkan PH cuba kembali berbaik dengan ‘watak’ yang sebelum ini dikritik dan dibenci rakyat.

Strategi khemah besar katanya berisiko melunturkan kepercayaan rakyat terhadap gabungan parti itu sehingga memperlihatkan pendekatan itu seperti mahu menghalalkan cara demi meraih kuasa.

Katanya, selepas melalui kehidupan sebagai orang biasa dan pengundi biasa sejak empat tahun lalu, beliau menyedari bahawa suara rakyat mahukan pimpinan PKR dan PH tidak bersifat defensif serta menerima maklum balas yang dizahirkan dalam kekalahan empat Pilihan Raya Negeri (PRN) berturut-turut.

“Kita ada PRU yang mungkin kurang setahun dari sekarang. Sebab itu kita mesti bersiap sedia dari sekarang dan perlu yakin dengan kekuatan kita.

“Strategi untuk masuk PRU setakat ini hanyalah strategi khemah besar dan ia menyebabkan kita lari daripada fungsi utama sebagai gagasan politik iaitu membentangkan, menyelesaikan dan meyakinkan rakyat bahawa kita bukan sahaja ada idea untuk menyelesaikan masalah besar, tetapi juga ada pimpinan cekap dan berkebolehan untuk melaksanakan idea itu sekiranya kita menang.

“Sebab itu secara tegas saya katakan bahawa kita perlu mengubah cara kita dan meninggalkan strategi yang kita cuba selama dua tahun iaitu khemah besar ini. Semuanya membawa matlamat menghalalkan cara demi mendapatkan kuasa…kamu boleh bergaduh hari ini dan pada hari esok kamu boleh menjadi kawan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )