Khairy tarik balik rayuan terhadap saman fitnah Anwar

Khairy tarik balik rayuan terhadap saman fitnah Anwar

Khairy Jamaluddin menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah bahawa beliau bertanggungjawab memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan beliau mengenai perlakuan tidak bermoral yang dibuat 14 tahun lepas.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nallini Pathmanathan, kemudian membatalkan dua permohonan kebenaran rayuan yang difailkan Khairy dengan kos RM5,000 bagi setiap rayuan.

Keputusan itu dibuat selepas Peguam Sarah Abishegam, yang mewakili Khairy memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menulis surat kepada pihak lawan untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu pada April lepas.

Khairy memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau bertanggungjawab memfitnah Anwar dan keputusan mahkamah yang sama yang menolak rayuannya untuk meminda pernyataan pembelaan berhubung saman fitnah oleh Ketua Pembangkang itu.

Terdahulu, Sarah menawarkan kos sebanyak RM1,000 untuk setiap rayuan atas alasan penarikan dibuat pada peringkat awal.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar, berkata RM5,000 bagi setiap rayuan di hadapan mahkamah tertinggi adalah munasabah.

Pada 7 Feb tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khairy untuk mencabar saman fitnah Anwar selepas memutuskan bahawa tiada kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan rayuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan yang dipertikaikan oleh Khairy, dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna sejadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.

Selain itu, Mahkamah Rayuan juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan kuantum ganti rugi RM150,000 yang diberikan kepada Anwar, tidak berlebihan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )