Khairuddin sifatkan Anwar, PH lupa daratan dan tidak boleh dipercayai

Khairuddin sifatkan Anwar, PH lupa daratan dan tidak boleh dipercayai

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan blok ketiga berada di posisi yang mempunyai banyak kelebihan pada masa kini berikutan rakyat sudah hilang keyakinan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebab itu saya setuju dengan pandangan bernas tokoh-tokoh pemimpin parti Pejuang yang mahu bertanding 120 kerusi Parlimen di seluruh negara sebagai satu manifestasi betapa serius untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seterusnya menubuhkan kerajaan baharu.

“’Branding’ parti Pejuang sebagai satu kuasa atau blok ketiga yang bakal berdikari tanpa membabitkan diri sama ada dengan PH atau kerajaan amat tepat sekali,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Khairuddin menyifatkan Anwar dan PH sebagai mudah lupa daratan dan tidak boleh dipercayai kerana mereka mempergunakan sokongan rakan lain bagi memenuhi agenda untuk memartabatkan Ketua Pembangkang sebagai Perdana Menteri.

“Ketika hendak menamakan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, pemimpin-pemimpin PH datang berjumpa dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad merayu agar memberi sokongan kepada Anwar.

“Pemimpin-pemimpin PH akan merayu, memujuk serta melakukan apa saja pada waktu itu demi menjayakan impian mereka yang mustahil ke arah memartabatkan Ketua Pembangkang masa kini sebagai Perdana Menteri kesembilan,” menurutnya.

Bagaimanapun, ujarnya, mereka ketepikan Pejuang, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ketika hendak berunding dengan kerajaan mengenai senarai pembaharuan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )