Ketua Pemuda UMNO tidak ‘menggelupur’, kenapa Pemuda Bersatu nak marah sangat?

Ketua Pemuda UMNO tidak ‘menggelupur’, kenapa Pemuda Bersatu nak marah sangat?

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan membidas pimpinan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kenyataan kasar yang dikeluarkan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Shahril Sufian berkata, kenyataan yang menyifatkan Asyraf Wajdi sebagai ‘letak kepala di lutut’ kerana meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tampil kepada media bagi menjelaskan perincian operasi sektor perkilangan ketika Sekatan Pergerakan Penuh adalah sangat biadab.

“Kekhuatiran berkenaan kluster kilang adalah benar dan disokong oleh data. Jadi, kalau ada pihak memberi fokus atau mempertikaikan kelonggaran kepada operasi kilang, itu adalah wajar. Menteri boleh menjawab dan menjelaskan. Itu memang antara kerja Menteri.

“Ketua Pemuda UMNO tidak pun ‘menggelupur’ minta semua kilang terus ditutup. Kenapa Pemuda Bersatu nak marah sangat? Ini semua menjadi isu kerana Parlimen tidak bersidang.

“Kalau bersidang, isu ini boleh dibahaskan, fakta dibentang dan rakyat boleh nilai. Jadi kalau tak mahu banyak disoal di media sosial, Armada mintalah buka Parlimen. Atau mereka anggap semua ahli Parlimen yang menyoal pun otak di lutut juga?” soal beliau dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Exco Armada, Saiful Bahari berkata, tindakan Asyraf Wajdi yang menggesa Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tampil secara langsung menjelaskan isu pembukaan operasi perkilangan adalah sesuatu yang dangkal.

Saiful turut mendakwa Asyraf Wajdi tidak faham berhubung rasional kebenaran pengoperasian kilang-kilang terbabit bagi memastikan produktiviti terhasil dengan sempurna.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )