Kes Syed Saddiq bakal didengar di Mahkamah Tinggi

Kes Syed Saddiq bakal didengar di Mahkamah Tinggi

Perbicaraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang membenarkan permohonan Syed Saddiq supaya kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohamed Zaini dalam keputusan ringkas berkata, mahkamah yakin kemungkinan besar terdapat persoalan perundangan luar biasa yang akan timbul (daripada kes itu).

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa pemohon telah gagal untuk menunjukkan isu undang-undang yang wujud adalah isu yang kompleks dan pertama kali wujud sehingga menyebabkan seorang Hakim Mahkamah Sesyen tidak dapat mengendalikan isu berkenaan.

Sementara itu, Peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah jika kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen, masalah akan timbul kerana ia tidak dapat mengendalikan isu perlembagaan.

Menjawab perkara ini, Hakim Mohamed Zaini bersetuju dengan hujah Gobind bahawa akan ada gangguan perbicaraan apabila isu itu timbul di Mahkamah Sesyen.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )