Kes LCS RM9.128 bilion: AGC akan buat keputusan segera

Kes LCS RM9.128 bilion: AGC akan buat keputusan segera

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pihak Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan secepat mungkin berhubung kes perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS), membabitkan peruntukan RM9.128 bilion.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia bersabar sementara pihaknya selesai meneliti kertas siasatan yang sudah diserahkan kepada pejabatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“AGC akan buat keputusan secepat mungkin, please bear with us (minta bersabar),” katanya ketika dihubungi BH.

Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Suruhanjaya itu juga memaklumkan, ia sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.

Jemaah Menteri dilapor pada minggu lalu, meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )