Kereta mewah, wang milik bekas Peguam 1MDB dilucut hak

Kereta mewah, wang milik bekas Peguam 1MDB dilucut hak

Mahkamah Tinggi hari ini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kereta mewah dan wang berjumlah RM22,600 milik bekas Peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan itu yang dibuat mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak ketiga iaitu OCBC Bank (M) Bhd untuk menuntut sebuah kondominium di Mont Kiara yang disita daripada Jasmine.

“Saya telah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak dan saya memutuskan bahawa permohonan pihak ketiga untuk menuntut harta tak alih (kondominium) milik responden yang disita pada 15 Februari 2021 dibenarkan.

“Manakala permohonan pendakwaan bagi melucut hak tiga lagi harta iaitu sebuah kereta Audi dan sebuah kereta Volkswagen New Beetle yang disita pada 27 Januari 2021 serta wang berjumlah RM22,600 dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik responden yang disita pada 2 Februari 2021 turut dibenarkan,” kata Hakim berkenaan.

Jasmine dikatakan seorang daripada sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB serta disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya sehingga kini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )