Kerajaan singkat PN bakal diratib walaun dan macai

Kerajaan singkat PN bakal diratib walaun dan macai

Apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan pada penghujung bulan Februari tahun 2020, gegak gempita seluruh negara yang bergembira dengan langkah penubuhan kerajaan yang dilabel mewakili komuniti Melayu Islam.

Langkah Sheraton yang dibuat sebelum itu pun kononnya bermatlamat untuk menyelamatkan Malaysia khususnya Bangsa Melayu dan Islam.

Penubuhan kerajaan PN membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di Sabah dianggap sebagai penyelamat kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum itu yang kononnya terumbang-ambing dan penuh dengan masalah dalaman.

Memasuki tahun 2021, isu ketidakstabilan kerajaan di bawah pentadbiran PN dengan pelbagai konflik dalaman melibatkan parti-parti membentuk kerajaan dilihat masih berlaku, seolah-olah mengulangi episod pentadbiran kerajaan PH.

Bermula dengan ketidakpuashatian ahli-ahli Parlimen BN yang mendakwa dibuli oleh Bersatu dalam isu pengagihan jawatan strategik kerajaan serta konflik sewaktu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Kemuncaknya, lebih 140 UMNO bahagian di seluruh negara mengemukakan usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada Sabtu lalu dan terkini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa diumumkan dipecat daripada jawatan sebagai Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional (MN) pada Isnin.

Nampaknya segala ratib yang dilakukan oleh PN serta para walaun dan macai yang kononnya kerajaan Pakatan Harapan hanya berusia 22 bulan dah hampir nak makan tuannya sendiri.

Kalau PH 22 bulan, PN pula hanya berapa bulan? Perlu diingat bahawa kerajaan Pakatan Harapan dipilih melalui mandat rakyat melalui PRU14. Itu satu sejarah yang tidak boleh dipadamkan!

Ketika segala usaha PH untuk memulihkan ekonomi dan menunaikan manifesto dalam keadaan tenat kerana kesan kleptokrasi BN sebelumnya, rampasan kuasa berlaku oleh para pengkhianat dan katak politik.

Tertubuhlah ‘kerajaan  tidak tahu malu’ yang dinamakan Perikatan Nasional. Naik ke atas dengan memijak bahu orang lain.

Kononnya ingin menyelamatkan Malaysia, tetapi ternyata dalam usia 11 bulan, tiada apa yang mereka lakukan kecuali percaturan politik longkang demi kuasa dan kedudukan serta usaha menyelamatkan figura tertentu daripada kes mahkamah.

Kalaulah PH hanya bertahan 22 bulan sebagaimana yang diratib oleh para walaun dan macai, ia runtuh kerana pengkhianatan, bukan kerana kegagalan.

Tetapi kerajaan Perikatan Nasional sejak daripada penubuhannya, tidak habis-habis bergaduh sesama sendiri, sindir-menyindir, ugut-mengugut, perli-memperli seolah-olah tiada langsung keikhlasan kalian dalam mentadbir negara.

Sama-sama kita tunggu dan lihat, berapa lama bertahannya kerajaan Perikatan Nasional kesayangan walaun dan macai ini. Dengar cerita 1 Februari adalah tarikh terakhir yang diberikan oleh Zahid Hamidi untuk para perwakilan melepaskan jawatan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )