Keputusan rayuan Najib 8 Disember

Keputusan rayuan Najib 8 Disember

Mahkamah Rayuan mengekalkan 8 Disember ini sebagai tarikh keputusan bagi rayuan kes Najib Razak membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Timbalan Pendaftar, Mohd Khairi Haron memaklumkan kepada pihak pembelaan menerusi surat Rabu lalu bahawa permohonan untuk menangguhkan keputusan itu ditolak.

Semalam, peguam Najib menulis surat kepada mahkamah memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuan bekas Perdana Menteri itu. Mereka meminta mahkamah menyampaikan keputusan antara 13 dan 17 Disember sebagai ganti.

Mereka berkata, Najib hanya akan pulang ke Kuala Lumpur dari Singapura pada 5 Disember dan perlu menjalani kuarantin tujuh hari sehingga 12 Disember. Beliau kini dilaporkan berada di Singapura bersama anaknya yang bersalin baru-baru ini.

Najib membuat rayuan untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas semua tuduhan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )