Keputusan bela diri Zahid diketahui esok!!

Keputusan bela diri Zahid diketahui esok!!

Sama ada Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan atau diperintah bela diri ke atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) akan diketahui esok.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa, selepas pasukan pendakwaan dan pembelaan selesai menyampaikan hujahan lisan selama empat hari bermula 1 September lalu.

Sebelum membuat keputusan, mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, menyemak 107 eksibit kes dan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, bekas Timbalan Perdana Menteri ini akan diperintah untuk membela diri.

Namun, jika keadaan sebaliknya berlaku, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini akan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Perbicaraan kes ini berlangsung selama 29 hari bermula 24 Mei 2021 manakala prosiding selesai pada 11 Ogos lalu.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi kes ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi semua pertuduhan, Ahmad Zahid dibebaskan atas jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )