Kenyataan saya mewakili AMANAH, bukan DAP – Khalid Samad

Kenyataan saya mewakili AMANAH, bukan DAP – Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dalam satu kenyataan memberi penjelasan pendirian AMANAH dengan menyatakan bahawa kerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO adalah mungkin, tetapi sepertimana dengan semua persoalan kerjasama, ianya semestinya bergantung kepada syarat-syarat yang bakal diperhalusi.

Menurut beliau, buat masa ini mandat penuh diberikan AMANAH kepada DSAI untuk memulakan perbincangan dengan semua pihak untuk membentuk kerajaan di bawah kepimpinan beliau, termasuk Ahli Parlimen UMNO.

Beliau merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 15hb Oktober bertajuk “DAP tiada masalah bersama UMNO”. Khalid  menegaskan bahawa laporan itu mengambil kata-kata beliau di luar kontek perbincangan di mana pada dasarnya temubual itu berhubung pendirian AMANAH dan bukan DAP.

Beliau berkata adalah tidak wajar kata-kata beliau dipetik sebagai mewakili pendirian DAP sedangkan beliau merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH.

“Setelah menjelaskan pendirian AMANAH, saya ditanya pemberita bagaimana pula dengan pendirian DAP? Saya menyebut “tiada masalah” dengan maksud, sepertimana juga dengan AMANAH, DAP akan memerlukan perbincangan dan perundingan berhubung syarat-syarat kerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang ingin menyokong DSAI.

Dan seingat saya, selepas itu saya turut menambah “tetapi, perlu tanya DAP”. Akhirnya ianya terpulang kepada DAP samada mereka bersedia untuk berkerjasma dengan Ahli Parlimen UMNO atau sebaliknya” tegas Mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Beliau beranggapan laporan itu berniat jahat bertujuan mencetuskan perbalahan bersama DAP. Ia seolah-olah satu gambaran beliau ingin mewakili dan bercakap bagi pihak DAP sedangkan temubual yang dilakukan adalah berhubung pendirian AMANAH.

Ahli Parlimen Shah Alam itu  berharap keadaan dan konteks sebenar kata-kata beliau semasa temubual berkenaan adalah jelas. Beliau juga menyeru pihak media untuk mempertingkatkan lagi professionalisme mereka semasa melaporkan sesuatu dan jauhi sikap suka memanipulasi sesuatu kenyataan.

“Seingat saya, saya tidak memberi apa-apa temubual berhubung pendirian DAP mengenai apa jua isu kepada mana-mana akhbar, sama ada berbahasa Inggeris atau Mandarin.

Untuk mengetahui pendirian DAP semestinya dirujuk pada DAP sendiri, bukan saya” tegas Khalid.

 

Berani Kerana Benar!!

Editor (Jom Channel.Net}

 

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )