Kenyataan Ku Li bukan mewakili UMNO – Mahdzir

Kenyataan Ku Li bukan mewakili UMNO – Mahdzir

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mengenai penolakan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai pandangan peribadi.

Katanya Majlis Tertinggi UMNO mempunyai pandangan dan keputusan tersendiri berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

Mahdzir bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Ku Li terhadap pandangan beliau tersebut.

“Terima kasih di atas pandangan beliau mengenai perkara itu, namun parti ada pandangan peribadi sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ku Li dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, Majlis Tertinggi UMNO mesti mengadakan mesyuarat tergempar dalam membuat keputusan kerjasama dengan Bersatu mengikut semangat dan kehendak perwakilan 147 bahagian.

Menurutnya, UMNO perlu membuat keputusan supaya semua ahli wajib mengundi menolak pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, UMNO perlu membuat keputusan dengan meminta ahli-ahli Parlimen semua parti komponen Barisan Nasional (BN) turut sama mengundi menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum Parlimen dipanggil bersidang.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )