Kenapa selama ini Hasni kunci mulut?

Kenapa selama ini Hasni kunci mulut?

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, UMNO Johor tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan berhubung jawatan tertinggi dalam parti wajar dipertandingkan sebagaimana usul dibawa perwakilan negeri ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berakhir Sabtu lalu.

Katanya, sewajarnya usul tersebut dibincangkan terlebih dahulu bagi menunjukkan sikap demokrasi.

‘Setahu saya sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor, kami tak pernah pun dipanggil mesyuarat oleh Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad untuk berbincang mengenai ketetapan UMNO negeri mengenai isu berkenaan.

“Kenapa keputusan dibuat tanpa berbincang atau maklumkan kepada pucuk pimpinan UMNO Johor yang lain. Adakah tindakan itu juga boleh dianggap sebagai demokrasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nur Jazlan turut mempersoalkan tindakan Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam yang mengambil sikap membisu sebelum ini namun tiba-tiba berani bersuara kebelakangan ini.

“Selama ini dia (Hasni) hanya ambil sikap kunci mulut dan tak keluarkan kenyataan apa-apa berhubung pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu, namun selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru berani bersuara.

“Tahu-tahu saja, wakil UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad ketika berucap semasa sesi perbahasan ucapan dasar Presiden dengan tegas mengatakan UMNO Johor mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan,” katanya.

Ketua Bahagian UMNO Pulai turut mempertikai alasan kononnya jika jawatan Presiden dan Timbalan tak dipertandingkan, ia akan memberikan persepsi negatif kepada orang luar.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )