Kenapa salahkan PRN Sabah? Salahkan kerajaan!!

Kenapa salahkan PRN Sabah? Salahkan kerajaan!!

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan kes Covid-19 melonjak naik disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan tahun lalu sebaliknya beliau mendakwa ia berlaku disebabkan kerajaan yang ada pada hari ini.

Dakwanya, tidak mungkin pilihan raya diadakan jika pihak terbabit tidak rakus dengan kuasa untuk ‘membeli’ wakil rakyat dan menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan sokongan.

“Bukan kerana pilihan raya diadakan semata-mata maka berlakunya keadaan kes Covid-19 meningkat secara mendadak. Perbuatan itu dilakukan oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini.

“Tidak mungkin pilihan raya boleh diadakan kalau mereka tidak rakus dengan kuasa membeli dan mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan untuk mengalihkan dan mendapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat.

“Jika itu tidak dilakukan, kita masih menjadi kerajaan yang stabil,” katanya dalam satu forum yang diadakan secara maya pada malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya moderator bahawa ramai berpendapat kes Covid-19 melonjak naik susulan PRN Sabah sedangkan situasi ketika itu sudah terkawal.

Katanya lagi, pelbagai langkah diambil ketika beliau menjadi Ketua Menteri untuk mengatasi Covid-19 termasuk menyekat penerbangan dari negara lain seperti dari Wuhan, China.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali lagi menegaskan bahawa peningkatan kes Covid-19 bukan kerana pilihan raya.

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )