Kenaikan kadar tambang feri Pulau Pangkor terlalu drastik

Kenaikan kadar tambang feri Pulau Pangkor terlalu drastik

Pengerusi Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Yuhyi, menyifatkan kenaikan tambang feri ke Pulau Pangkor mulai 1 Julai lalu terlalu drastik dan bakal memberi kesan kepada pengusaha pelancongan.

Katanya, kenaikan mendadak tambang feri daripada RM14 untuk dua hala kepada RM10 bagi perjalanan sehala agak tinggi.

“Kita menganggap kenaikan harga tambang feri ini terlalu drastik. Apa alasan kenaikan harga ini kerana jika disebabkan bahan api, harga petrol dan diesel masih kekal. Adakah kadar baharu tambang ini dipersetujui pihak berkuasa tempatan?

“Dari segi jangka masa pendek mungkin tidak nampak kesannya, tetapi dalam jangka masa panjang, pelancong akan berfikir banyak kali untuk ke Pulau Pangkor disebabkan kadar tambang baharu ini,” katanya.

Zamari berkata, setakat ini tempahan hotel melibatkan ahli-ahli MyBHA di Pulau Pangkor masih baik biarpun kadar baharu itu dilaksanakan.

Jelasnya, bagaimanapun kebimbangan untuk masa akan datang jika berlaku pengurangan kehadiran pelancong disebabkan kenaikan harga tersebut yang bakal menjejaskan pengusaha hotel di Pulau Bebas Cukai itu.

Beliau meminta pihak-pihak berkaitan memberikan penjelasan dan melihat secara teliti sama ada keputusan menaikkan tambang tersebut wajar dilaksanakan atau sebaliknya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )