Kematian doktor di HPP, tiada bukti kukuh kes buli di tempat kerja

Kematian doktor di HPP, tiada bukti kukuh kes buli di tempat kerja

Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) mengekalkan pandangan, tiada bukti kukuh buli di tempat kerja yang menyebabkan kematian Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 17 April lalu selagi tiada tambahan maklumat berkaitan kematian Pegawai itu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata lebih daripada 60 peratus responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di Kementerian Kesihatan (KKM) positif, terutamanya penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.

“Insiden ‘burnout’ dan buli serta budaya kerja kurang sihat dapat disahkan berlaku di KKM, namun pada tahap yang berbeza dan bukanlah di semua fasiliti kesihatan KKM.

“Didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan Pegawai Perubatan Siswazah, malah berlaku merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung.

“Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang baru ditempatkan di HPP maut, selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartmen di Jalan Datuk Keramat, George Town 17 April lalu. Mangsa dilaporkan baru ditempatkan di HPP pada 4 April lalu.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menubuhkan Pasukan Petugas bagi menyiasat kes kematian serta budaya buli yang didakwa berlaku dan HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lalu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )