Kelonggaran SOP, kebenaran rentas negeri dibincang esok

Kelonggaran SOP, kebenaran rentas negeri dibincang esok

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengadakan satu mesyuarat penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran dalam negara menuju ke fasa endemik, esok.

Beberapa agenda bakal dibincangkan termasuk berkaitan perjalanan rentas negeri, pembukaan sektor-sektor tertentu, gelembung pelancongan dan naratif untuk memasuki fasa endemik.

Beliau dijangka akan bertemu dengan tiga lagi Menteri iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Pertama, kita akan lihat kepada keputusan-keputusan kelonggaran yang telahpun diumumkan kepada orang ramai dan bagaimana SOP yang sedia ada dapat dipermudahkan dan difahami.

“Ini memerlukan input daripada keempat-empat Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengkoordinasikan input daripada empat pihak ini.

“Tan Sri Annuar Musa boleh bantu untuk ceritakan dan maklumkan kepada orang ramai melalui platform sedia ada,” kata beliau dalam sidang media di Wisma Pertahanan hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

Tambah Hishammuddin, penelitian juga akan diberikan kepada kelonggaran yang dipersetujui sebelum ini di mana ia perlu diperhalusi sebaiknya sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Katanya lagi, agenda untuk memasuki endemik turut diberikan perhatian.

 

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )