Kekecohan penyokong: Ketua Polis Negara bagi amaran

Kekecohan penyokong: Ketua Polis Negara bagi amaran

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, memberi amaran kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) agar bertanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Beliau berkata, pihak seperti calon dan Pengurus kempen perlu peka terhadap perkara itu bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Kejadian sedemikian adalah contoh situasi penyokong tidak terkawal boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menjadi ancaman keselamatan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan berkompromi dalam menangani ancaman yang akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Demi kepentingan orang ramai, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang,” katanya kepada BERNAMA, di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, segala tindakan yang perlu akan diambil bagi memastikan semua pihak yang terbabit dapat menjalankan tugas mereka dalam keadaan selamat dan yakin tanpa sebarang provokasi.

Sebagai contoh, Sabtu lalu, tular menerusi media sosial rakaman video kekecohan berlaku di luar Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan DSP Antanom di Tenom apabila penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merusuh sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Kekecohan yang berlaku di PPC PRU15 Parlimen Tenom berpunca daripada penolakan pencalonan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )