Kami ada majoriti, kami pula yang dihalau keluar

Kami ada majoriti, kami pula yang dihalau keluar

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menyifatkan sekarang bukan waktu sesuai untuk beliau membuat keputusan menyertai mana-mana parti politik.

Beliau yang  menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka baru-baru ini berkata, apa yang lebih penting ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu diselesaikan segera agar rakyat tidak menjadi mangsa dalam kemelut yang berlaku.

Norhizam juga mendakwa kesal kerana keputusan beliau dan tiga bekas ADUN untuk bersama Pakatan Harapan (PH) tidak diadili setelusnya walaupun gabungan itu sudah mendapat majoriti sokongan ADUN bagi membentuk kerajaan negeri.

“Kita telah mendapat majoriti 15 ADUN tetapi kenapa kami yang diarahkan keluar dari Seri Negeri. Sepatutnya kami semua dipanggil menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam atau pertemuan secara maya.

“Kami membuat pengumuman (tarik sokongan) pada Isnin, namun menjadi tanda tanya ialah pada hari sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menghantar surat pembubaran DUN kepada Mohd Ali.

“Yang kami persoalkan ialah surat pembubaran itu kerana Mohd Ali sedang kuarantin kendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ditanya mengenai UMNO mengesyorkan darurat, beliau berkata, seharusnya kejatuhan PH Melaka pada Mac tahun lalu dijadikan sebagai rujukan dan sandaran bagi menyelesaikan konflik politik tercetus.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )