Kalau tanya secara baik, saya pun jawab secara elok

Kalau tanya secara baik, saya pun jawab secara elok

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, individu yang merakam gambarnya di pusat pameran dan jualan di Autocity Juru, Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada 5 Jun lalu boleh sahaja bertanya kepadanya apa yang berlaku.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat tersebut berkata, dia sama sekali tidak memandu uji kereta jenis Ford Raptor itu sebaliknya penjual yang dikenali sebagai Ong yang berbuat demikian.

“Cumanya dia mungkin boleh bertanya secara baik mengenai apa yang berlaku pada waktu itu, dan saya pun boleh jawab elok-elok,” dipetik Utusan Online.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata demikian kepada pemberita semalam selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Al-Farabi, Kompleks Pendidikan Negeri di Alor Setar.

Menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu, Sanusi dalam masa sama mengakui melihat ruang dalaman dan duduk di kerusi penumpang depan kereta tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Politiknya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, Sanusi hanya “pi jenguk kereta, bukan pi nak beli”.

Polis telah merekodkan keterangan Sanusi pada 6 Jun lalu serta enam individu lain berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di Autocity Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) itu.

Individu yang diambil keterangan ialah dua pengadu termasuk seorang wanita yang merakam video di lokasi kejadian, dua staf syarikat jualan kereta, seorang pemandu serta pengiring kepada Sanusi.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )