Kalau tak sebut pasal jawatan TPM pun, Ismail tahu tuntutan itu

Kalau tak sebut pasal jawatan TPM pun, Ismail tahu tuntutan itu

Perikatan Nasional (PN) sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas pertemuan 4 Ogos lalu bagi menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.

Bendahari PN, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata isu dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baharu bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan Perdana Menteri.

“Kita mengambil kesempatan mengutarakan pelbagai isu, termasuk berkaitan dengan pembangunan dan sebagainya.

“Pada pertemuan itu, banyak isu secara luaran dan umum sahaja dibangkitkan,” katanya.

Sabtu lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan PN yang diwakili Setiausaha Agungnya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Ahmad Samsuri pada 4 Ogos lalu.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilaporkan berkata, kedua pemimpin itu sudah menyampaikan pandangan mereka dan beliau juga sudah sampaikan pandangannya.

Ketika ditanya adakan perjumpaan itu menyentuh tuntutan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Samsuri menjelaskan, Perdana Menteri maklum tuntutan daripada PN walaupun tidak disebut dalam perjumpaan itu.

“Saya berpendapat, jika kita tidak sebutpun Perdana Menteri tahu mengenai tuntutan daripada PN,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )