Kajian kerja empat hari seminggu, buang masa dan tak relevan

Kajian kerja empat hari seminggu, buang masa dan tak relevan

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat dalam satu kenyataan menyifatkan, kajian kebolehlaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu, dalam keadaan banyak lagi kebajikan untuk penjawat awam belum terlaksana sepenuhnya sebagai tidak relevan.

Katanya, banyak perkara lain yang sepatutnya diutamakan kerajaan terutama perkara yang memberi manfaat kepada pekerja, berbanding mengkaji perkara yang belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

“Kajian ini tidak relevan dan buang masa sedangkan sistem penyampaian yang ada sekarang belum boleh bagi perkhidmatan sepenuhnya.

“Lebih baik beri fokus pada kebajikan penjawat awam seperti keperitan hidup dengan harga barang semakin meningkat dan kelulusan oleh kerajaan seperti gantian cuti rehat (GCR) boleh ditebus 80 hari, yang sehingga kini belum dilaksanakan, sekadar isi borang, namun tidak ada bayaran dibuat,” katanya.

Khamis lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilapor menubuhkan Pasukan Khas bagi mengkaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu, yang antara lain melihat sektor mana dan jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Isu itu mula menjadi perhatian masyarakat apabila 70 syarikat melibatkan 3,000 pekerja di United Kingdom melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu mulai bulan ini, namun masih menerima gaji penuh untuk sebulan.

Bagaimanapun Adnan berharap penjawat awam tidak dimomokkan dengan kajian itu, sebaliknya terus diberi penekanan untuk fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )