Kabinet dikecilkan, gaji Menteri dikurangkan demi rakyat

Kabinet dikecilkan, gaji Menteri dikurangkan demi rakyat

Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata gaji anggota Kabinetnya akan dikurangkan tetapi ia perlu dipersetujui melalui perbincangan terlebih dahulu.

Sementara itu, pembentukan Kabinet akan disegerakan dengan saiz yang juga akan dikecilkan.

“Saiz Kabinet tentunya akan dikecilkan dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu setuju agar gaji dikurangkan.

“Tetapi semua ini dalam proses perbincangan dan persiapannya sesegera mungkin,” kata Anwar.

Menurutnya, beliau sebagai Perdana Menteri akan merujuk kepada parti-parti lain untuk mengusulkan nama bagi pembentukan Kabinet.

“Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus rujuk kepada parti-parti gabungan ini.

“Parti masing-masing pula akan mengusulkan nama untuk pembentukan Kabinet,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini, Malaysia mempunyai jumlah anggota Jemaah Menteri besar jika dibandingkan dengan negara lain sehingga digelar Kabinet XXXL, sekali gus meningkatkan bebanan kewangan tinggi kepada negara selain menimbulkan masalah daripada segi fungsi bertindih.

Justeru, pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Anwar menegaskan bahawa PH akan mengurangkan barisan Jemaah Menteri dan memotong gaji mereka.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )