Jual bon 1MDB: Kes Roger Ng ditangguh

Jual bon 1MDB: Kes Roger Ng ditangguh

Mahkamah Tinggi hari ini, menangguhkan kes bekas Pegawai Bank Goldman Sachs, Roger Ng, membabitkan penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sementara menunggu proses hukuman kes jenayahnya di Amerika Syarikat (AS) pada 13 September ini.

Roger didapati bersalah di Mahkamah AS pada 8 April lalu kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, namun hukuman terhadapnya belum diputuskan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir, berkata perbicaraan kes jenayah dihadapi Roger di Mahkamah AS sudah selesai manakala proses hukuman akan dijalankan pada September ini.

“Untuk makluman mahkamah, Jabatan Keadilan AS (DOJ) memohon penyerahan sementara tertuduh ke AS hingga akhir Ogos ini. Saya pasti DOJ akan memohon lanjutan tempoh penyerahan sementara memandangkan proses hukuman pada September ini.

“Oleh itu, saya mohon tarikh sebutan kes pada 18 atau 19 Oktober ini untuk memaklumkan kepada mahkamah mengenai status terkini kes tertuduh di AS,” katanya.

Sementara itu, Peguam Roger, Datuk Tan Hock Chuan, mengesahkan tarikh hukuman itu dan memaklumkan anak guamnya sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan juri di Mahkamah AS.

“Keputusan dicapai pada 8 April lalu dan Hakim di New York akan menetapkan hukuman pada 13 September ini. Saya setuju dengan permohonan pendakwaan untuk tarikh sebutan itu bagi memaklumkan mengenai perkembangan kes di AS,” katanya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 19 Oktober ini untuk kes pengurusan seterusnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )