Jho Low entiti sebalik tabir 1MDB

Jho Low entiti sebalik tabir 1MDB

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Low Taek Jho atau Jho Low berada di sebalik tabir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana pihak pengurusan syarikat itu sentiasa menerima e-mel berkaitan pelaburan dan pembangunan yang akan dijalankan oleh 1MDB daripada ahli perniagaan dalam buruan itu.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu atas kapasiti apa Jho Low menghantar e-mel tersebut dan tahap penglibatan beliau dalam syarikat itu.

Ismee berkata, Jho Low juga menggunakan nama Najib dalam percakapan serta cadangannya sebagai ‘bos’ atau ‘PM’ dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA). TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudiannya dikenali sebagai 1MDB.

Menurut Ismee, apa yang beliau nampak ketika Jho Low berada dalam Jawatankuasa Pemandu TIA adalah lelaki itu berperanan sebagai penasihat kepada Najib.

Ismee berkata, perkenalannya dengan Jho Low adalah ketika pelantikan Jawatankuasa Pemandu di Istana Terengganu pada awal tahun 2009 apabila lelaki itu memperkenalkan diri secara santai kepadanya.

Ismee juga memberikan contoh bahawa, Jho Low mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak Abu Dhabi dan ia dapat dilihat ketika beliau mengikuti Najib untuk lawatan rasmi ke Abu Dhabi.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )