Jauhi sifat kepuakan dalam Pakatan Harapan-Mujahid

Jauhi sifat kepuakan dalam Pakatan Harapan-Mujahid

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof melahirkan keyakinan tentang kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatasi masalah COVID-19 dan krisis berikutnya jika ternobat sebagai Perdana Menteri ke-9.

Ketahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diuji sedari 1998 lagi ketika aspirasi ‘REFORMASI’ mula berkumandang di pesada politik tanahair. Kalimat keramat ini menjadi mimpi ngeri kepada pengamal kronisma dan korupsi yang mula membengkak pada kerajaan yang beliau sendiri berada di posisi orang no 2 negara ketika itu.

Kerajaan yang berpura-pura bercakap tentang kesepaduan nasional tetapi terpendam karat jahiliyah perkauman tidak mungkin mengemudi suasana krisis hari ini kerana hilang kejujurannya kepada komitmen untuk melahirkan ketahanan NASIONAL.

Mujahid juga membayangkan keperluan kepada menghormati prinsip hukum rentas kaum dan agama berteraskan keadilan dan kesaksamaan serta menghindari  radikalisme agama

Katanya, kerajaan elit tidak diperlukan. Ini bermakna saiz kabinet yang lebih kecil, ahli parlimen tidak memegang jawatan GLC, pemotongan elaun pak menteri yang tidak perlu serta ketelusan tata kelola kewangan negara.

“Komunikasi dengan rakyat perlu jujur dan telus. Tiada ‘double standard’ dalam penguatkuasaan, ketegasan kepada penceroboh atas apa jua kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang perlu diadili dengan saksama. Ia sebuah kerajaan yang mendapat sokongan semua pihak kerana teras jaminan keamanahan dipelihara,” tegasnya.

Anwar juga tidak pernah undur dari menyatakan dengan penuh komitmen tentang kesepaduan rakyat rentas berbagai kaum dan agama.

Mujahid berharap “Anwar dapat membawa peranan agama dengan lebih berkesan dari sudut pemikirannya semasa krisis di mana kerangka MAQASID yang merupakan ruh syariah berupaya menjadi teras utama kepimpinannya untuk mengendalikan krisis negara hari ini.”

Demi mencapai cita-cita murni itu tidak harus timbul sifat kepuakan dalam PAKATAN HARAPAN.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membawa kerajaan rakyat yang menuntut pengorbanan kepada ahli politik lebih daripada menuntut rakyat berkorban.”

“Ia sebuah kerajaan yang mendapat sokongan semua pihak kerana teras jaminan keamanahan dipelihara.

“Tidak terkecuali acara mewah dan pembaziran di kalangan menteri dan anggota kerajaan lain perlu dihentikan segera dalam masa krisis ini,”

Rakyat tidak menuntut Kerajaan utopia. Tetapi cukup dengan pemimpin yang menghayati jiwa dan denyut nadi rakyat.

Kerajaan baharu akan membawa prinsip kejujuran, kesepaduan nasional, kerajaan berjiwa rakyat dan kepantasan adaptasi berekonomi dalam era kelaziman baharu.

Makluman: Artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi JOMChannel.Net.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )