Jangan heret AMANAH dalam isu rumah tangga PAS Terengganu

Jangan heret AMANAH dalam isu rumah tangga PAS Terengganu

Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menafikan penglibatan parti itu di sebalik desas-desus pertukaran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengarah Komunikasinya, Hasbie Muda berkata, pihaknya kesal apabila PAS cuba mengheret Amanah dalam hal dalaman mereka selepas UMNO menafikan penglibatannya, malah ianya seolah-olah langkah untuk lari daripada isu sebenar.

“PAS tidak wajar mengheret pihak lain dalam hal rumah tangga mereka dan seharusnya menyelesaikan isu tersebut melalui penjelasan serta kenyataan daripada pihak berkenaan.

“Secara rasionalnya, tiada keuntungan pada Amanah atau pihak lain untuk menjatuhkan Menteri Besar Terengganu hari ini kerana dengan 22 kerusi DUN PAS, pengganti beliau akan datang dalam kalangan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS.

“Keuntungan sekiranya Menteri Besar ditukar hanya kepada ADUN PAS. Tidak elok diheret Amanah semata-mata cuba menutup pekung mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasbie berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis terhadap seorang individu yang mengaitkan Amanah dalam isu tersebut dan cubaan mencemar imej Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

 

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )