Itu bukan tuduhan, ia satu jemputan beri penjelasan

Itu bukan tuduhan, ia satu jemputan beri penjelasan

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan, beliau mengetengahkan isu bagi perhatian dan perbincangan awam yang sihat pada sidang medianya berhubung isu sama ada wajar bagi kerajaan `caretaker’ menganugerahkan projek bernilai besar secara rundingan terus tanpa melalui proses tender.

Rafizi yang menjawab tuntutan saman dikemukakan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya, berkata beliau juga membawakan persoalan sama ada wajar bagi kerajaan menganugerahkan projek kepada syarikat sama yang menerima pelbagai projek bawah kementerian sama.

Ahli Parlimen Pandan itu melalui pernyataan pembelaan difailkan pada 28 Disember lalu, berkata isu yang turut diketengahkan ialah sama ada kerajaan harus ikhlas dan tegas dalam menghentikan usaha untuk menganugerahkan projek di dalam tempoh kerajaan `caretaker’.

“Saya menyatakan pihak yang menerima manfaat daripada kenyataan media itu adalah rakyat dan pembayar cukai, dan salah bagi plaintif (Tuan Ibrahim) melihat semua ini dari sudut pandang prisma yang sempit seolah-seolah ini isu peribadi antara saya dengannya.

“Saya menegaskan bahawa kenyataan media itu bukan `tuduhan’ tetapi lebih berbentuk kepada suatu jemputan dan saranan atau permintaan supaya plaintif memberi penjelasannya berkenaan perkara yang dibangkitkan.

“Niat sebenar saya membuat kenyataan media adalah untuk menjemput dan mendorong plaintif memberi penjelasan berkenaan kenyataan media itu dan membawa isu mengenai ketelusan pihak berkuasa dalam penganugerahan kontrak pelaksanaan projek kepada perhatian umum,” katanya.

Melalui saman difailkan pada 17 November tahun lalu, Tuan Ibrahim mendakwa Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dan kenyataan itu turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan (Mohd Rafizi) pada 7 dan 9 November lalu.

Ia berhubung dakwaan Rafizi bahawa Tuan Ibrahim meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )