Isu sikap kasar KPPA: Pembangkang gesa kerajaan beri penjelasan

Isu sikap kasar KPPA: Pembangkang gesa kerajaan beri penjelasan

Pembangkang menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung isu perbalahan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM).

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata penjelasan oleh Menteri bertanggungjawab perlu memandangkan isu itu sudah tular, selain ia menjatuhkan imej dan reputasi jabatan kerajaan.

“Semalam, negara dikejutkan dengan insiden di KLIA, yang mana KPPA dilaporkan menengking Pegawai Tinggi Imigresen. Saya rasa Parlimen harus mendapat penerangan kerana ia sudah dilaporkan secara viral dalam media sosial dan media arus perdana.

“Sudah ada kenyataan daripada pihak JPA dan dibalas pula oleh kesatuan Imigresen, menyatakan kesal terhadap sikap kasar KPPA dan tidak sepatutnya melakukan perkara itu.

“Ini adalah nama baik JPA. Nama baik Pegawai di bawah JPA, yang saya rasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri harus tampil dalam dewan ini untuk memperjelaskan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang Pegawai Kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi semalam.

Salahuddin berkata, penjelasan itu perlu bagi mengelak tanggapan salah dan maklumat yang tidak tepat terus dihebahkan kepada orang ramai.

Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) pula mempersoalkan keabsahan kenyataan balas dikeluarkan JPA pagi tadi, yang antara lain menafikan insiden berkenaan.

“Ada kenyataan dikeluarkan yang menafikan insiden itu, tapi kenyataan penafian itu dibuat JPA tanpa tanda tangan daripada siapa. Sewajarnya Menteri kena keluar kenyataan menegaskan persoalan ini,’ tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )