Isu sedekah rasuah: PAS serah kepada pihak siasatan

Isu sedekah rasuah: PAS serah kepada pihak siasatan

PAS menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan parti itu memberi wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Naib Presidennya, Dato” Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pimpinan politik yang mendakwa PAS memberi wang kepada pengundi disaran membuat laporan bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan.

“Pandangan saya mengenai pelbagai isu berkaitan dengan dakwaan PAS memberi wang kepada pengundi sama dengan kenyataan beberapa pemimpin termasuk Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berkenaan,” katanya kepada media.

Sabtu lalu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika kempen PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang turut mendakwa PAS memberi wang tunai antara RM300 hingga RM600 kepada pengundi, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengulangi parti itu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan apa juga siasatan atas dakwaan berkenaan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )